[VIDEO] 'Ayah okay, nampak sihat', bekas penjaga gol legenda Kedah selamat jalani pembedahan


  • Podium
  • Rabu, 17 Dis 2025

Ahmad Sobri Ismail dilaporkan selamat menjalani pembedahan di HKL selepas mengalami komplikasi tekanan darah tinggi pada awal pagi Rabu. — Facebook  MHazriq Fahimy Abdullah

BEKAS penjaga gol legenda Kedah, Ahmad Sobri Ismail dilaporkan selamat menjalani pembedahan di Hospital Kuala Lumpur (HKL), di ibu negara selepas mengalami komplikasi tekanan darah tinggi pada awal pagi Rabu. 

Perkembangan positif itu dikongsikan oleh seorang penyokong, MHazriq Fahimy Abdullah menerusi hantaran di Facebook pada Rabu, yang memaklumkan pembedahan berkenaan berjalan lancar dan keadaan Ahmad Sobri kini stabil.

MHazriq turut berkongsi kenyataan ringkas anak Ahmad Sobri iaitu Mohamad Aliff. 

BACA LAGI : Dilayangkan kad merah pertama sepanjang karier, Cifu mohon maaf tak dapat beraksi penuh 90 minit

BACA LAGI : Akad nikah, 'final exam' punca 2 bintang Liga Super terpaksa ke venue naik helikopter

Menurut Aliff pembedahan tersebut selesai kira-kira pukul 2 pagi dan mengambil masa hampir dua jam sebelum bapanya dipantau rapi di Unit Ketergantungan Tinggi (HDU).

"Alhamdulillah, pembedahan ayah sudah selesai. Doktor akan pantau terlebih dahulu dan ayah kini masih berada di HDU. Terima kasih kepada semua yang tidak henti-henti mendoakan. 

"Hanya ALLAH yang mampu membalas jasa kalian," katanya.

Dalam perkongsian sama, Aliff turut memaklumkan keadaan bapanya semakin baik dan kelihatan sihat selepas menjalani prosedur tersebut, sekali gus menenangkan kebimbangan peminat bola sepak tanah air.

Terdahulu, tular beberapa gambar dan video memaparkan pemain yang terkenal pada era 1980-an hingga 1990-an itu menerima rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar, Kedah sebelum dipindahkan ke HKL bagi rawatan lanjut.

Untuk rekod, Ahmad Sobri merupakan antara pemain yang terpahat dalam sejarah bola sepak Kedah dan Malaysia apabila mempamerkan aksi cemerlang pada final Piala Malaysia 1993 dengan menangkis beberapa percubaan berbahaya termasuk sepakan penalti pemain Singapura, sekali gus membantu Kedah menjulang kejuaraan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram