'Kejarlah impian mu', Zaquan Adha titip pesanan berguna buat Aisy Qaiser


  • Podium
  • Isnin, 12 Jan 2026

Aisy Qaiser bukanlah wajah asing dalam arena bola sepak tempatan apabila sering kelihatan menemani bapanya di padang latihan kelab-kelab yang pernah diwakili Zaquan Adha seperti JDT, KDA FC dan NSFC.

 

ANAK lelaki bekas penggempur kebangsaan, Zaquan Adha Abdul Radzak menjadi antara 39 pemain yang melaporkan diri bagi menyertai skuad bawah 13 tahun (B-13) Program Pembangunan Bola Sepak Kebangsaan (NFDP) di Akademi Mokhtar Dahari (AMD), Pahang pada Ahad.

Muhammad Aisy Qaiser Zaquan Adha merupakan sebahagian daripada kelompok pemain generasi 2013 yang dipanggil mengikuti program pembangunan berkenaan yang bertujuan melahirkan bakat muda terbaik negara pada peringkat akar umbi.

Skuad B-13 NFDP kali ini akan dibimbing oleh bekas penolong jurulatih kebangsaan, Hassan Sazali Warasdengan dibantu Fadzli Saari dan Fauzi Kassim, manakala tugas melatih penjaga gol diamanahkan kepada Firdaus Mohamad.

BACA LAGI: NFDP: Tak boleh ada 2 entiti urus perkara sama, nanti tak selari — FAM

BACA LAGI: 'Jangan harap dana kerajaan', Khairy Jamaluddin nasihat FAM cari duit sendiri sebelum jaga NFDP

Aisy Qaiser bukanlah wajah asing dalam arena bola sepak tempatan apabila sering kelihatan menemani bapanya di padang latihan kelab-kelab yang pernah diwakili Zaquan Adha seperti Johor Darul Ta’zim (JDT), Kedah Darul Aman FC dan Negeri Sembilan FC.

Perkembangan itu turut dikongsi Zaquan Adha yang menitipkan kata-kata semangat buat anaknya menerusi satu hantaran di Instagram dengan kapsyen ringkas namun bermakna.

"Kejarlah impian mu Aisy Qaiser," pesannya.

Dalam perkembangan berkaitan, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menerusi satu kenyataan memaklumkan pelantikan Datuk Ong Kim Swee sebagai pengarah teknikal NFDP yang baharu, manakala Datuk Dollah Salleh dilantik sebagai penolong pengarah teknikal program berkenaan.

 

 

 

 

Razip Ismail pula dilantik sebagai Ketua Pendidik Jurulatih dan Pencarian Bakat NFDP dan beliau dibantu oleh P Ganasamurthy, Abdul Ghani Malik dan S Veloo.

Bagi skuad AMD Bawah 13 tahun (B-13), pasukan itu akan dikendalikan oleh ketua jurulatih, Hassan Sazali Waras dibantu Fadzli Saari dan Fauzi Kassim, manakala Firdaus Mohamad dilantik selaku jurulatih penjaga gol.

Sementara itu, skuad AMD B-14 pula akan diterajui oleh Rusdi Suparman sebagai ketua jurulatih, dengan bantuan Aziz Ismail dan Shahril Faizal Sharifuddin, serta Rozaimi Rohim sebagai jurulatih penjaga gol.

Bagi skuad AMD B-15, P Maniam dilantik sebagai ketua jurulatih dibantu M Lingeswaran dan Radzi Salleh, manakala Norazlan Razali menggalas tugas jurulatih penjaga gol.

Bekas pemain kebangsaan, Shukor Adan pula dipertanggungjawabkan sebagai ketua jurulatih AMD B-16 dengan dibantu Lim Chan Yew dan Kuizwan Johari serta Farizal Harun sebagai jurulatih penjaga gol.

Sementara itu, Noor Zaidi Rohmat dilantik sebagai ketua jurulatih skuad AMD B-17, dibantu oleh Armi Sharif dan Syahrul Azwari Ibrahim sebagai penolong ketua jurulatih. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram