
SUMBANGAN besar pemain warisan dalam skuad kebangsaan masih belum cukup untuk menambat hati penyokong yang masih mengharapkan Harimau Malaya dibarisi majoriti bintang lokal.
Harapan tersebut dapat disaksikan apabila Harimau Malaya meraih kemenangan 4-0 ke atas Vietnam minggu lalu, namun ia tidak diraikan pengguna media sosial.
Pandangan sedemikian boleh mencetuskan keretakan dalam kalangan penyokong yang masing-masing mahu menyaksikan pendekatan berbeza demi kejayaan skuad kebangsaan.
BACA LAGI: Dedah pengalaman buruk dibuli pemain senior, Zaquan Adha ajak Azmeer Yusof bersemuka
BACA LAGI: Dulu pernah sepasukan, sengketa Azmeer-Zaquan perlu didamaikan
Azmeer memberi pandangan berhubung lambakan pemain warisan dalam Harimau Malaya. — Facebook/Kedah FA
Bagaimanapun, baru-baru ini, bekas pertahanan Liga Super tampil memberi pandangan berhubung konflik tersebut dengan mengatakan tiada perbezaan ketara antara kedua-dua kelompok pemain itu.
Dalam hantaran di Facebook peribadinya, dia menganggap fizikal pemain lokal dan warisan tidak jauh beza, namun gaya pemikiran dan tindakan yang menjadi kelainan.
"Mereka berfikir tiga, empat langkah ke depan. Sebelum terima bola di kaki, mereka sudah berfikir apa yang hendak dibuat. Sebelum lawan bertindak, mereka sudah bertindak terlebih awal hingga membuatkan mereka sudah dua, tiga langkah di hadapan.
"Sebelum lawan buat keputusan, mereka sudah menjaringkan gol. Inilah perbezaan terbesar kita dan mereka. Kadang-kadang, saya cuba berfikir dua atau tiga langkah ke depan sebelum terima bola. Tetapi, apabila dapat teknik berfikir tu, teknik untuk bertindak dan buat keputusan tu lambat pula sampai dalam diri ni," tulisnya.
Bekas pemain Kedah dan Perak itu sudah tentu wajar memberi pandangan tersebut kerana sepanjang tempoh kariernya, dia pernah berkongsi padang bersama lambakan import.
Masih terdapat keretakan dalam kalangan penyokong berhubung program warisan dan naturalisasi. — Facebook/Malaysia NT
Pendedahan tersebut sedikit sebanyak memberinya ruang untuk membuat perbandingan meskipun tidak pernah diberi peluang beraksi buat Harimau Malaya kerana terdapat persaingan hebat dalam posisinya.
"Saya setuju sahaja kalau ada berpandangan pemain lokal dan import beraksi dengan cara berbeza seperti mana yang dinyatakan di atas. Ini kerana cara buat hantaran sama, tandukan sama, mendada sama dan melakukan bentesan juga sama.
"Lagi satu, yang tak sama kita dengan mereka ialah ketenangan. Pemain import bahaya bagaimanapun, kadang-kadang masih tenang, tetapi kita dalam minda tahu untuk membuang bola dari zon bahaya sahaja.
"Jom kita berdamai sahaja dengan takdir. Yang bersetuju kita panggil 'orang putih' main untuk negara, kita raikan. Yang tak bersetuju pun kita raikan juga. Pendapat masing-masing, kita raikan sahaja bersama," tulisnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram