Penang-Kuching City buat sistem 'barter', Shamie Iszuan bakal ganti ex Kedah di Harimau Kumbang


  • Podium
  • Rabu, 07 Jan 2026

Nur Shamie hanya merekodkan empat penampilan termasuk aksi tunggal Piala FA pada musim ini. — Facebook/TheCats

BERMULA 5 Januari lalu, jendela perpindahan Liga Malaysia (Liga M) kembali dibuka, menyaksikan kelab-kelab mula rancak menyusun semula kekuatan bagi menghadapi pusingan kedua liga musim ini.

Penang FC antara pasukan yang dikhabarkan tidak mahu ketinggalan melakukan rombakan apabila skuad Harimau Kumbang dilaporkan sedang memantau pemain sayap Kuching City FC, Nur Shamie Iszuan Amin.

Keputusan Penang FC membawa Nur Shamie mengundang persoalan dek pemain sayap berkenaan bukan pilihan utama Aidil Sharin Sahak ekoran hanya memanaskan bangku simpanan skuad The Cats.

BACA LAGI: Dulu pernah dipuji TMJ, apa sudah jadi padang stadium Terengganu FC?

BACA LAGI: Jangan normalisasi kata-kata berbaur rasis — Penang FC

Statistiknya juga tidak begitu meyakinkan apabila hanya merekodkan empat penampilan, termasuk satu aksi Piala FA, dengan jumlah 63 minit permainan setakat musim ini.

Bagaimanapun, reputasi Nur Shamie tidak boleh dipandang remeh berikutan aksi cemerlangnya sebelum ini, khususnya ketika bersama Kuching City pada musim 2024/2025 serta Sarawak United pada musim 2022, masih segar dalam ingatan peminat.

Malah, pada musim kemuncaknya bersama Sarawak United pada 2022, Nur Shamie pernah menarik perhatian bekas pengendali Harimau Malaya, Kim Pan-gon yang memanggilnya menyertai skuad kebangsaan bagi saingan Piala AFF hujung tahun tersebut.

Wan Rohaimi berkemungkinan memerlukan pemain lincah seperti Nur Shamie. — Facebook

Difahamkan, minat Penang FC ke atas Nur Shamie mungkin didorong oleh kesesuaian pemain itu dengan pendekatan taktikal ketua jurulatih Harimau Kumbang, Wan Rohaimi Wan Ismail.

Lebih menarik, khabar angin perpindahan itu dikatakan bakal melibatkan ‘sistem barter’ apabila Kuching City dilaporkan berminat mendapatkan dua pemain Penang FC, Amirul Hisyam Awang Kechik dan Arif Farhan Isa.

Kedua-dua pemain itu bukan nama asing buat Aidil Sharin kerana pernah berada di bawah kendaliannya ketika dia menerajui Kedah Darul Aman FC dari musim 2018 hingga 2022.

Aidil Sharin mengubah Kuching City menjadi antara kelab terkuat musim ini. — Facebook/TheCats

Pengalaman dan kefahaman Aidil terhadap kelebihan Amirul Hisyam serta Arif Farhan dilihat mampu memperkukuh bahagian tengah dan pertahanan kanan Kuching City.

Sebagai rekod, Kuching City kini menghuni tangga kedua Liga Super dengan 28 mata, berkongsi jumlah mata sama dengan Kuala Lumpur City.

Justeru, penambahan pemain berkualiti dilihat penting buat The Cats dalam misi mencabar kedudukan naib juara liga. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram