Arsenal tunjukkan pemain Liverpool juga manusia biasa — Klopp


  • Podium
  • Isnin, 05 Feb 2024

Alisson (jersi jingga) dan Van Dijk (jersi ungu) melakukan kesilapan ketika bertemu Arsenal di Emirates pada Isnin. — Agensi

CALON untuk memenangi trofi English Premier League (EPL), Liverpool mengalami detik sukar di utara London selepas mereka kecundang 1-3 kepada Arsenal pada Isnin.

Dalam kekalahan yang menyaksikan Arsenal mengurangkan jurang kepada dua mata terhadap The Reds, Liverpool melalui detik memalukan apabila penjaga gol, Alisson Becker dan pertahanan Virgil van Dijk melakukan kesilapan mudah di separuh masa kedua.

Salah faham antara kedua-dua pemain itu sewaktu hendak mengeluarkan bola daripada kawasan bahaya Liverpool telah peluang terbuka 'dihadiahkan' kepada Gabriel Martinelli untuk memberikan Arsenal pendahuluan 2-1.

Melihat kepada situasi itu, pengendali Liverpool, Jurgen Klopp mengatakan ia adalah bukti kedua-dua pemain tersebut adalah manusia dan tidak kalis daripada melakukan kesilapan.

BACA LAGI: Kehadiran Fortes boleh selesaikan masalah 'winger' Selangor, bantu beri cabaran di Asia

arsenal-vs-liverpool-7

Situasi salah faham pemain Liverpool yang memberikan gol kedua buat Arsenal. — Agensi

BACA LAGI: [VIDEO] Pemain 'dibelasah' pasukan sendiri, tak percaya boleh skor sepakan percuma cantik

"Cerita di separuh masa kedua pasti akan berlainan dan saya tak akan tahu macam mana jika kita tidak memboloskan jaringan kedua. Tetapi dua pemain utama kami mempunyai salah faham.

"Ia menunjukkan, saya sudah ulang banyak kali, mereka adalah manusia. Itu membuatkan apa yang mereka lakukan selama ini adalah cukup istimewa.

"Ada masanya, anda lupa yang mereka juga manusia. Untuk perlawanan pada Ahad, mereka tidak gembira, kami tidak gembira. Tetapi cukup sampai di sini, saya tidak akan terlibat dengan perlawanan di tempat lawan menentang Arsenal lagi," ujar Klopp selepas perlawanan.

Dalam masa yang sama, Klopp mengakui yang Liverpool adalah pasukan kedua terbaik dalam pertemuan bertemu Arsenal itu. Arsenal dilihat lebih berselera dan bertenaga untuk mencari gol dan tiga mata.

"Kami tidak cukup bagus pada perlawanan kali ini," ujar pengurus itu ringkas.

Liverpool menanggung kekalahan kedua dalam EPL musim ini selepas persembahan longlai di saat mereka perlu menang untuk melebarkan penguasaan di puncak liga.

Bukayo Saka memberikan pendahuluan buat The Gunners pada minit ke-14 sebelum jaringan sendiri Gabriel Magalhaes di masa kecederaan separuh masa pertama menyamakan kedudukan kedua-dua pasukan.

Martinelli meletakkan Arsenal di depan pada minit ke-67 sebelum Leandro Trossard mengesahkan kemenangan Arsenal pada masa kecederaan separuh masa kedua.

Untuk rekod, kedua-dua kekalahan Liverpool berlaku di Utara London dengan sebelum ini mereka tumbang kepada Tottenham Hotspur pada Oktober. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram