Tomiyasu akui benci sikap rakan sepasukan ketika latihan


  • Podium
  • Jumaat, 03 Feb 2023

Tomiyasu mengakui sukar untuk menyekat kemaraan Martinelli ketika latihan pasukan Arsenal. — Agensi

PEMAIN pertahanan Arsenal, Takehiro Tomiyasu, 24, mendedahkan dia tidak suka berdepan dengan peledak pasukan itu, Gabriel Martinelli dalam latihan The Gunners kerana menganggap pemain tersebut bersikap agresif.

Martinelli, 21, membuktikan dirinya sebagai salah seorang pemain terpenting Arsenal. Pemain itu sudah mencetak tujuh gol Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini untuk membantu skuad kendalian Mikel Arteta mendahului lima mata daripada Manchester City di tangga teratas liga.

Sebagai pemain pertahanan, salah satu tugas Tomiyasu dalam latihan adalah untuk menyekat kemaraan Martinelli.

Ia bukanlah satu tugas yang mudah, kerana bintang muda dari Brazil itu dianggap sebagai antara prospek paling menarik dalam EPL. Malah, Martinelli tersenarai dalam skuad negaranya untuk Piala Dunia di Qatar.

Ketika diminta oleh GOAL untuk menamakan seorang pemain Arsenal yang enggan dihadapi dalam perlawanan kompetitif, dia menjawab, "Gabriel Martinelli. Dia tidak pernah berhenti."

Tomiyasu berkata, Martinelli memiliki kepantasan dan keagresifan yang diperlukan seorang penyerang yang bagus.

"Dia masih muda, tetapi apabila dia memiliki bola dia mahu membuat perubahan, dia mahu melakukan sesuatu," katanya.

1_GettyImages-1435906354

Tomiyasu ditandatangani oleh Arsenal dari kelab Itali, Bologna pada Ogos 2021. — Agensi

Tomiyasu, yang beraksi untuk skuad antarabangsa Jepun ditandatangani oleh Arsenal dari kelab Itali, Bologna pada Ogos 2021. Dia menjadi antara tonggak penting dalam kesebelasan utama Arsenal namun hanya tampil dalam 21 perlawanan pada musim lalu kerana masalah kecederaan.

Tomiyasu juga bergelut selama beberapa minit musim ini kerana prestasi Ben White di bek kanan. White bergandingan dengan Gabriel Magalhaes di bahagian pertahanan musim lalu, namun mengambil tempat Tomiyasu selepas William Saliba kembali daripada tempoh pinjamannya di Marseille musim panas lalu.

Pemain kelahiran Fukuoka, Jepun itu mengakui sukar tidak dapat beraksi sekerap yang dimahukan tetapi menegaskan matlamat utamanya adalah untuk menyokong pasukan.

"Saya perlu realisitik. White memberi persembahan yang sangat baik. Dia hebat.

gabriel-martinelli-celebrates-scoring-1st-771793814

Martinelli memiliki kepantasan dan keagresifan yang diperlukan seorang penyerang yang bagus. — Agensi

"Sudah tentu saya mahu bermain dari awal. Satu-satunya perkara yang saya boleh lakukan ialah membuktikan kemampuan di atas padang dan menunjukkan apa yang boleh saya lakukan.

"Saya hanya mahu membantu pasukan. Tidak kisah jika saya bermain dari mula atau tidak. Apabila saya berada di atas padang, saya memberikan segalanya," katanya.

Tomiyasu mungkin berpeluang diturunkan dalam kesebelasan utama pasukan jika White atau Saliba mengalami kecederaan.

Begitupun Arteta pernah menyatakan dia melihat potensi Tomiyasu untuk bermain di bek kiri berikutan aksinya dengan pasukan Jepun di pentas Piala Dunia Qatar.

"Dalam perlawanan itu, dia boleh bermain di bek kiri. Jadi kami ada pilihan untuk meletakkannya di posisi tersebut," katanya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram