XAVI Hernandez masih belum kembali ke arena pengurusan bola sepak sejak dipecat oleh Barcelona pada Mei 2024, namun peluang untuk bekas pemain tengah Sepanyol itu kembali ke tepi padang dilihat semakin terbuka.
Sejak beberapa bulan lalu, Hernandez sering dikaitkan dengan jawatan pengurus Manchester United yang kini kosong selepas kelab gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL) itu memecat Ruben Amorim awal minggu ini.
Difahamkan, Hernandez mendapat penilaian positif dalam kalangan pegawai Manchester United yang kagum dengan kebolehannya membangkitkan semula prestasi Barcelona ketika tempoh awal kepimpinannya.
BACA LAGI: Gantikan Salah, Liverpool sedia keluar duit RM475 juta buru bintang 'terbuang' Man United
BACA LAGI: Diberi mandat kendali 'kapal bergelora', legenda Man United minta restu Alex Ferguson
Namun begitu, setakat ini masih belum wujud sebarang rundingan rasmi antara kedua-dua pihak.
Perkara itu disahkan oleh wartawan terkenal, Fabrizio Romano yang memaklumkan bahawa Manchester United masih berada di peringkat awal proses pemilihan ketua jurulatih baharu.
"Buat masa ini, saya tidak mengetahui sebarang rundingan antara Xavi dan Manchester United. United baru memulakan proses pemilihan jurulatih dan kita perlu melihat apa yang akan berlaku pada masa hadapan. Setakat hari ini, tiada apa-apa yang lanjut atau konkrit," katanya.
Menurut Romano, Hernandez bagaimanapun terbuka dan berminat untuk mencabar diri dalam EPL, selain merasakan dirinya sudah bersedia untuk kembali ke dunia kejurulatihan selepas berehat seketika susulan pemergiannya dari Barcelona.

Hernandez dijangka menerajui Barcelona. — Agensi
"Hernandez amat berminat untuk melatih di Liga Perdana Inggeris. Dia berasakan sudah tiba masanya untuk kembali dan memulakan lembaran baharu dalam karier kejurulatihannya," tambah Romano.
Manchester United kini dijangka mempertimbangkan beberapa calon bagi mengisi kekosongan tersebut, namun usaha mendapatkan khidmat Hernandez tidak akan mengejutkan pemerhati bola sepak.
Dia hampir berjaya mengubah nasib Barcelona dalam tempoh singkat selepas kembali ke Catalonia pada musim 2021/2022 dan pastinya percaya mampu mengulangi kejayaan sama di Old Trafford, walaupun berdepan tekanan serta tumpuan tinggi.
Buat masa ini, Hernandez kekal sebagai antara calon yang disebut-sebut, dengan perkembangan lanjut dijangka diketahui dalam beberapa hari atau minggu akan datang. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
