Cuma seri dengan pasukan tercorot, Amorim label Man United tak cukup berkualiti


  • Podium
  • Rabu, 31 Dis 2025

Skuad The Red Devils gagal membawa pulang tiga mata penuh ketika menerima kunjungan Wolves pada Rabu. — Agensi

HARAPAN Manchester United untuk melonjak ke kelompok empat teratas tidak kesampaian selepas pasukan itu sekadar seri dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang Wolverhampton Wanderers di laman sendiri pada Rabu.

Perlawanan itu sepatutnya menghadiahkan tiga mata penuh buat skuad The Red Devils memandangkan pasukan pelawat jelas bergelut musim ini dengan hanya dua mata dikutip daripada 19 perlawanan.

Bagaimanapun, selepas terlebih dahulu membuka jaringan menerusi Joshua Zirkzee pada minit ke-27, kesilapan benteng pertahanan memberi peluang buat Ladislav Krejci mencetak gol penyamaan.

BACA LAGI: Kobbie Mainoo adalah masa depan Man United — Ruben Amorim

BACA LAGI: Sangka menang tipis, Amorim kecewa Man United terlalu santai 'bocor' minit akhir

Amorim berpandangan pasukannya akan lebih kuat jika setiap pemain dapat diturunkan. — Agensi

Kedudukan 1-1 itu kekal sehingga wisel penamat ditiupkan dengan cemuhan bergema di Stadium Old Trafford, Manchester selepas peminat tuan rumah berasa berang dengan keputusan itu.

Pengurus Manchester United, Ruben Amorim menjelaskan pasukannya itu tidak memiliki kualiti diperlukan untuk menumpaskan Wolves di laman sendiri.

Jelasnya, kehilangan beberapa tonggak akibat kecederaan dan tugasan di Piala Negara Afrikan (AFCON) jelas dirasai dalam perlawanan berkenaan.

"Kita beraksi dengan tidak begitu lancar. Kita juga berdepan kekangan dari segi kualiti dan kebolehan mencipta peluang. Selepas itu, kita dibolosi daripada situasi bola mati," katanya.

Antara pemain utama tidak beraksi ketika berdepan Wolves merupakan Bruno Fernandes yang cedera sementara dua penyerang sayap, Bryan Mbeumo dan Amad Diallo bersama negara masing-masing di pentas AFCON.

Amad (kanan) dan Mbeumo kini bersama negara masing-masing di pentas AFCON. — Agensi

Skuad The Red Devils kini berada dalam prestasi tidak menentu dengan dua keputusan seri, satu kekalahan dan dua kemenangan direkodkan dalam lima perlawanan terakhir.

Momentum tersebut meletakkan mereka di kedudukan keenam dalam carta, dua mata di belakang Liverpool dalam usaha merebut slot ke Liga Juara-Juara UEFA (UCL) musim depan.

Bagaimanapun, Amorim yakin akan peluang pasukannya untuk menamatkan kempen EPL kali ini dalam kelompok empat teratas sekiranya skuad terbaik dapat diturunkan.

"Sudah tentu apabila kita menurunkan Casemiro dan (Manuel) Ugarte bersama-sama, ia cukup berbeza apabila Kobbie Mainoo, Mason Mount serta Bruno beraksi dan ia adalah hal normal.

"Kita hanya perlu mereka cergas atau kembali dari tugasan AFCON dan saya percaya, permainan akan berbeza. Saya yakin kita akan jadi pasukan lebih baik selepas ini," katanya.

Selepas ini, Manchester United berpeluang untuk kembali ke landasan kemenangan ketika berdepan Leeds United di tempat lawan pada Ahad depan. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram