Cemerlang di peringkat antarabangsa, Syahir Rosdi diiktiraf Tekong Terbaik Dunia


  • Podium
  • Selasa, 06 Jan 2026

Syahir cemerlang membantu Malaysia meraih pelbagai kejayaan di peringkat antarabangsa.

BINTANG sepak takraw negara, Syahir Rosdi diangkat sebagai "Tekong Terbaik Dunia" oleh Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (ISTAF).

Badan induk sepak takraw dunia itu menerusi Setiausaha Agungnya, Datuk Abdul Halim Kader mengiktiraf kehebatan Syahir menerusi Sijil Kecemerlangan Antarabangsa Terbilang yang dikeluarkan kepada pemain itu.

Menerusi kenyataan sijil itu, ISTAF memuji persembahan cemerlang Syahir dalam tiga kejohanan utama peringkat antarabangsa iaitu Piala Dunia 2024, Piala Asia 2025 dan Sukan SEA 2025.

BACA LAGI: Jeneral taraf Liga Perancis disebut-sebut ke Selangor, rupanya pernah 'cuti' semusim akibat cedera

BACA LAGI: [VIDEO] Dendam, rekod lama buatkan JDT-Selangor jadi pilihan awal undian Piala Malaysia

"Sebagai pengiktirafan atas pencapaian luar biasa serta prestasi antarabangsa yang cemerlang sebagai Tekong Terbaik Dunia, khususnya susulan persembahan mengagumkan beliau di Piala Dunia 2024, Piala Asia 2025 dan Sukan SEA 2025 bagi pertandingan Sepak Takraw.

"Melalui penguasaan teknikal elit, kecerdasan taktikal, ketahanan mental, dan kecemerlangan daya saing, beliau telah secara konsisten beraksi pada tahap tertinggi Sepaktakraw antarabangsa," kata ISTAF.

Dalam masa yang sama ISTAF juga kagum dengan tahap konsisten Syahir ketika mewakili Malaysia dengan memberikan persembahan cemerlang setiap kali beraksi.

Kecemerlangan Syahir itu turut membantu meningkatkan imej sepak takraw dalam menerusi pasaran global.

"Keupayaan beliau untuk mewakili Malaysia dengan penuh keunggulan secara konsisten, di samping menyaingi serta mencabar pemain elit terbaik Thailand, telah melayakkan beliau menerima pengiktirafan antarabangsa yang meluas. Pujian daripada media sukan Thailand turut mengesahkan status beliau sebagai antara tekong terbaik dunia.

"Pengiktirafan terbilang ini dianugerahkan oleh ISTAF sebagai penghormatan terhadap sumbangan cemerlang kepada sepak takraw antarabangsa, komitmen terhadap kecemerlangan dan integriti kesukanan serta peranan dalam meningkatkan martabat global sepak takraw Malaysia," ujar ISTAF. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram