Saya sedia keluar dari zon selesa — Mahame Siby


  • Podium
  • Rabu, 07 Jan 2026

Siby merupakan rekrut baharu Selangor untuk jendela perpindahan Januari Liga Malaysia.

PEMAIN baharu Selangor FC, Mahame Siby sedia keluar dari zon selesa dalam kariernya demi mencapai kejayaan bersama Gergasi Merah.

Sering dikaitkan dengan perpindahan ke Selangor, Siby secara rasminya diumumkan oleh kelab pada Rabu sebagai muka baharu Gergasi Merah selain ketibaan jurulatih, Kim Pan-gon.

Bercakap kepada media rasmi kelab, Siby yang berasal dari Mali mengatakan Selangor merupakan kelab Asia pertama dalam kariernya.

BACA LAGI: Jeneral taraf Liga Perancis disebut-sebut ke Selangor, rupanya pernah 'cuti' semusim akibat cedera

BACA LAGI: [VIDEO] Dendam, rekod lama buatkan JDT-Selangor jadi pilihan awal undian Piala Malaysia

Menghabiskan sebahagian besar kariernya di Perancis bersama Bastia, Strasbourg dan Paris FC, pemain tengah bertahan itu tidak sabar untuk meneroka dunia bola sepak berbeza di Malaysia.

"Saya sudah bersedia untuk keluar dari zon selesa dan menghadapi cabaran baru di tempat saya tidak pernah jejaki seperti di Asia.

"Selain itu, saya juga tidak sabar untuk menerokai keindahan budaya yang berbeza di Malaysia, menjalin hubungan yang baik dengan mereka serta belajar daripada pengalaman saya akan dapat di sini.

"Saya dengar bahawa para penyokong di sini sangat setia dan sentiasa memberikan sokongan yang luar biasa kepada pasukan. Jadi, saya berharap dapat membalasnya dengan memberikan komitmen penuh serta berikan segala yang saya ada di atas padang.

"Saya ingin meninggalkan kesan yang positif dan berkekalan, bukan sahaja kepada para penyokong tetapi juga kepada kelab," kata pemain berusia 29 tahun itu.

Kelab terakhir Siby wakili sebelum Selangor adalah Malmo di Sweden dengan pemain itu menjalani beberapa proses pinjaman ke pasukan lain semasa bersama mereka. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebookInstagramWhatsApp Channel dan Telegram