PEMAIN tengah, Nacho Mendez melangkah ke dunia baharu apabila menandatangani kontrak bersama Johor Darul Ta’zim (JDT) selepas menghabiskan keseluruhan karier profesionalnya bersama kelab Sepanyol, Sporting Gijon selama ini.
Tanpa mengambil masa lama untuk menyesuaikan diri, pemain berusia 27 tahun itu pantas membuktikan kemampuannya sebagai tonggak penting juara bertahan Liga Super berkenaan.
Setakat musim ini, Mendez telah beraksi dalam 29 perlawanan di semua kejohanan bersama skuad Harimau Selatan, selain merekodkan tiga gol dan sembilan bantuan jaringan.
BACA LAGI: Kini milik JDT, impak import Brazil masih dikenang Liga Jepun
BACA LAGI: [VIDEO] Dendam, rekod lama buatkan JDT-Selangor jadi pilihan awal undian Piala Malaysia
Malah, tiada pemain JDT lain yang merekodkan jumlah penampilan sepertinya, sekali gus membuktikan peranannya sebagai nadi tengah pasukan yang menjadi sandaran penuh ketua jurulatih, Xisco Munoz.
Mendez yang menghabiskan sembilan tahun bersama Sporting Gijon dari 2016 hingga 2025 mengakui menikmati pengalamannya bersama Harimau Selatan.
"Saya tidak tahu apa yang akan saya temui di sini kerana saya tidak mempunyai pengetahuan tentang pasukan atau liga, namun semuanya berjalan dengan sangat baik.
"Saya menemui persekitaran yang hebat di Johor dengan kemudahan yang baik, stadium yang bagus serta pasukan yang kuat.
"Terdapat juga banyak pasukan berkualiti seperti Kuching City dan Selangor. Secara keseluruhan, ini adalah pengalaman yang sangat positif dan saya gembira," kata Mendez.

Mendez juga merupakan ketua pasukan ketika bersama bersama Sporting Gijon. — Instagram/NachoMendez
Pemain kelahiran Sepanyol itu berpotensi beraksi dalam lebih 50 perlawanan musim ini sekiranya JDT mara jauh dalam saingan Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE), Kejohanan Kelab Asean Shopee dan Piala Malaysia.
Untuk info, musim ini bersama Harimau Selatan menyaksikan Mendez mengalami jadual yang jauh lebih padat berbanding apa yang pernah dilaluinya ketika beraksi di Sepanyol.
"Saya tidak biasa bermain dengan jumlah perlawanan yang begitu banyak. Di Sepanyol, saya lebih biasa dengan jadual mingguan.
"Bermain setiap dua atau tiga hari dalam pelbagai kejohanan memerlukan tahap fokus yang tinggi.
"Namun sebagai pemain, kami lebih gemar perlawanan berbanding latihan, jadi ini satu cabaran yang baik," katanya.
Bagaimanapun, salah satu penyesuaian terbesar buat Mendez adalah keadaan padang dalam Liga Malaysia.

Mendez sudah tampil dalam 29 perlawanan untuk JDT. — Facebook/JDT
"Menyesuaikan diri dengan permukaan padang mungkin perkara paling sukar.
"Ia akan menjadi sesuatu yang baik untuk liga dan negara sekiranya lebih banyak pasukan mengikut jejak langkah JDT dalam membangunkan kemudahan mereka.
"Apabila itu berlaku, tahap liga akan meningkat dan lebih ramai pemain berkualiti tinggi akan berminat untuk datang ke sini.
"Corak permainan saya banyak bergantung kepada pergerakan bola yang pantas di atas padang, namun ia menjadi sedikit mencabar dengan keadaan rumput di sini. Bagaimanapun, sebagai pemain, saya perlu menyesuaikan diri," ujarnya.
Mendez turut tersenarai sebagai penjaring dalam kemenangan 2-0 JDT ke atas Selangor di tempat lawan baru-baru ini, satu keputusan yang disifatkannya sebagai antara ujian paling mencabar musim ini.
"Kami tahu ia akan menjadi perlawanan yang sukar kerana Selangor sedang beraksi dengan baik.
"Perlawanan di tempat lawan sentiasa mencabar, terutamanya dengan keadaan padang, namun kami bermula dengan baik dan memperoleh gol awal dengan sedikit tuah.
"Kami mengawal permainan dengan baik, tidak banyak dibolosi dan sangat gembira dapat membawa pulang tiga mata daripada perlawanan yang mungkin paling sukar di tempat lawan dalam liga.
"Ia adalah permulaan tahun yang hebat dan kemenangan yang sangat penting buat kelab," jelasnya. — The Star/T. AVINESHWARAN
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
