Kapsyen Jalur Gemilang petanda Bergson bakal debut bersama Harimau Malaya?


  • Podium
  • Rabu, 07 Jan 2026

Penyerang berbisa JDT, Bergson da Silva dikatakan semakin hampir menyarung jersi Harimau Malaya. — Facebook/JST

PENGENDALI skuad Harimau Malaya, Peter Cklamovski seolah-olah memberi bayangan bahawa penyerang prolifik Johor Darul Ta’zim (JDT), Bergson da Silva semakin hampir untuk dinaturalisasikan dan menyarung jersi pasukan kebangsaan.

Perkara itu tercetus selepas Cklamovski meninggalkan emoji bendera Malaysia pada ruangan komen satu hantaran di media sosial, sekali gus mencetuskan spekulasi dalam kalangan peminat mengenai kemungkinan penglibatan Bergson bersama Harimau Malaya.

Situasi berkenaan pantas mencuri perhatian penyokong bola sepak tempatan yang dilihat tidak sabar menantikan kemunculan ayam tambatan Harimau Selatan itu dalam pasukan kebangsaan.

BACA LAGI: Komitmen pemain layak ke final Piala FA bayangi kontroversi tunggakan gaji kem Sabah FC

BACA LAGI: Kini milik JDT, impak import Brazil masih dikenang Liga Jepun

Tangkap layar memaparkan Cklamovski meninggalkan emoji bendera Malaysia pada ruangan komen satu hantaran di media sosial.

Tonggak berusia 35 tahun itu baru-baru ini muncul sebagai watak utama skuad Harimau Selatan apabila jaringannya memastikan kemenangan 2-0 ke atas Selangor FC dalam aksi yang berlangsung di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Selangor pada Ahad. 

Penyerang kelahiran Brazil tersebut kini mendahului carta penjaring terbanyak Liga Super musim 2025/26 dengan 13 jaringan, meskipun sebelum ini terpaksa berehat seketika akibat kecederaan.

Menariknya, Bergson sebelum ini turut menunjukkan rasa cintanya terhadap Malaysia apabila fasih bertutur dalam bahasa Melayu serta berkongsi pengalamannya menikmati hidangan tempatan seperti nasi goreng dan nasi lemak.

Sebagai rekod, Bergson telah beraksi di Malaysia sejak 2021 dan 2026 bakal menjadi tahun kelimanya di negara ini, sekali gus melayakkannya untuk proses naturalisasi mengikut syarat sedia ada.

Penyerang versatil itu juga memegang status sebagai penjaring terbanyak Liga Super sepanjang zaman selepas merekodkan 118 gol, memadamkan rekod lama milik Indra Putra Mahayuddin dengan 106 jaringan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram