PERKEMBANGAN positif dikongsikan pemain sayap tanah air, Arif Aiman Hanapi selepas menjalani pembedahan susulan kecederaan dialaminya.
Dalam satu hantaran di laman Threads peribadinya, bintang Johor Darul Ta'zim (JDT) itu sempat meminta orang ramai agar mendoakan kesembuhannya.
"Alhamdulillah semua berjalan dengan lancar, doakan saya semua cepat sembuh dan akan kembali lebih kuat insya-ALLAH amin," katanya.
BACA LAGI: Ujian berbeza, lagu nasyid iringi perjuangan Faisal Halim dan Arif Aiman
BACA LAGI: Biarlah ramai pilihan sekali pun, tewasnya JDT di Australia ceritakan Arif Aiman tiada galang ganti

Arif Aiman berkongsi perkembangannya selepas menjalani pembedahan baru-baru ini. — Threads/Arif Aiman
Arif sebelum ini mengalami kecederaan ketika tugasan antarabangsa bersama Harimau Malaya dalam kempen Kelayakan Piala Asia menentang Nepal pada 18 November lalu.
Sejak itu, pemain berusia 23 tahun berkenaan tidak dapat beraksi dalam tiga perlawanan buat JDT, termasuk ketika berdepan Melbourne City FC bagi saingan Liga Juara-Juara AFC (ACL) Elite.
Ketiadaannya juga memberi kesan untuk skuad Harimau Selatan yang sibuk mencari pengganti untuk mengisi kekosongan tersebut, namun masih gagal setakat ini.
Kejayaan pembedahan itu sekali gus membolehkan pemain sayap terbabit kembali ke atas padang segera, terutamanya menjelang perlawanan akhir Piala FA menentang Sabah FC pada 14 Disember depan.

Kecederaan dialami Arif Aiman ketika beraksi menentang Nepal dalam Kelayakan Piala Asia 2027.
Perkembangan tersebut turut diraikan penyokong bola sepak tempatan yang mengharapkan Arif Aiman dapat beraksi buat JDT dalam masa terdekat.
"Syafakallah Arif dan ikut cakap doktor dan fisioterapi selalu, saya doakan cepat sembuh. JDT dah hadapi aksi tanpa Arif, saya rasa mcm tak bertindak sepenuhnya," kata Nazaruddin Ab Rashid.
"Insya-ALLAH, semoga proses pemulihan berjalan dengan lancar. Kuatkan semangat, bola kesayangan anda dan kami semua akan menunggu," kata Yano N 27.
"Moga segera diberikan kesembuhan. Mak saya maklum Arif Aiman tiada, tak seronok nak tengok JDT beraksi. Mak saya umur 84 tahun, peminat Arif Aiman," kata Shamarmad. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
