Tak lama tinggalkan Pantai Timur, ‘Neymar Terengganu’ disebut dirisik kelab Indonesia


  • Podium
  • Rabu, 07 Jan 2026

Silva menghabiskan separuh musim yang tidak begitu prolifik bersama skuad Sang Penyu. — Facebook/Terengganu FC

PRESTASI tidak menentu sepanjang kira-kira enam bulan di Pantai Timur menyaksikan import Brazil, Gabriel Silva tidak akan lagi bersama Terengganu FC.

Pemergiannya itu diumumkan menerusi laman media sosial kelab yang menzahirkan penghargaan buat penyerang sayap terbabit atas setiap sumbangannya.

Dalam tempoh hampir enam bulan bersama skuad Sang Penyu, pemain berusia 28 tahun itu merekodkan 14 penampilan dengan tiga gol dan dua bantuan jaringan direkodkan.

BACA LAGI: 'Tak konsisten dan tiada perancangan, ke mana hala tuju sebenar Terengganu FC?'

BACA LAGI: Badrul Afzan usah pening, ada 3 pemain boleh ganti Akhyar hadap derbi Pantai Timur

Selain pulangan kurang memberangsangkan, Silva juga menjadi mangsa kritikan penyokong kerana kerap mensia-siakan serangan dengan cubaan menggelecek.

Meskipun memiliki kebolehan mengelirukan pertahanan, gerakannya kadang-kadang berakhir dengan sia-sia apabila pihak lawan berjaya mematahkan pergerakannya.

Jadi, pengumuman bahawa kontraknya akan ditamatkan lebih awal itu diterima dengan hati terbuka sambil mengharapkan pihak pengurusan kelab mampu mencari pengganti segera.

Bagaimanapun, penghijrahan keluar pemain tersebut dari Terengganu FC tidak menjejaskan kariernya apabila baru-baru ini, timbul khabar angin mengenai destinasinya selepas ini.

Menerusi perkongsian Kitman News di Facebook, penyerang sayap itu dilaporkan berada dalam radar kelab Indonesia, Bali United.

Bekas pemain sayap Terengganu itu disebut-sebut akan ke Bali United tidak lama lagi. Facebook/Kitman News

"Ada sumber menyatakan bekas pemain Terengganu itu bakal ke negara jiran dengan penawaran kontrak mega kepada pemain itu," tulisnya pada Isnin.

Perpindahan berkenaan tidaklah begitu mengejutkan kerana terdapat lambakan bekas import skuad Sang Penyu pernah memilih Indonesia sebagai destinasi meneruskan karier sebelum ini.

Malah, bagi pemain yang diberi jolokan 'Neymar Terengganu' itu, suasana beraksi sekitar Asia Tenggara bukanlah perkara asing memandangkan sebelum ini, dia menghabiskan kira-kira tiga tahun di Kemboja.

Sekiranya perpindahan ke Indonesia itu dimeterai, Silva akan memikul peranan penting dalam membantu memperbaiki kedudukan pasukan yang kini berada di tangga kelapan Liga Super Indonesia.

Bagi Terengganu FC pula, pembukaan jendela perpindahan pada Isnin membuka pintu luas bagi pihak kejurulatihan membawa masuk import lebih berkualiti. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram