Badrul Afzan usah pening, ada 3 pemain boleh ganti Akhyar hadap derbi Pantai Timur


  • Podium
  • Selasa, 30 Sep 2025

Kecederaan buku lali menyaksikan Akhyar terlepas derbi Pantai Timur apabila Terengganu FC melayan kunjungan Kelantan The Real Warriors FC (TRW) pada Jumaat ini. — Facebook TFC

KECEDERAAN buku lali yang menimpa Akhyar Rashid sememangnya satu tamparan besar buat Terengganu FC (TFC). 

Ini kerana Akhyar bukan sekadar pemain sayap lincah, tetapi juga nadi kepada corak serangan pantas TFC. 

Kepantasannya dalam transisi menyerang, kemampuan membuat larian di ruang kecil, serta kreativiti dalam situasi satu lawan satu sering menjadi senjata utama skuad Penyu.

Kecederaan itu menyaksikan Akhyar turut terlepas derbi Pantai Timur apabila Terengganu FC melayan kunjungan Kelantan The Real Warriors FC (TRW) pada Jumaat ini. 

Tanpa Akhyar, ketua jurulatih Badrul Afzan Razali perlu menilai semula pendekatan taktikalnya. Namun, ketiadaan pemain berusia 26 tahun itu bukanlah bermaksud TFC ketandusan pilihan. 

Masih ada tiga opsyen pemain yang boleh dipertimbangkan untuk mengisi kekosongan tersebut ketika menentang Kelantan TRW.

Baqiuddin Shamsudin

Baqi mencatat satu assist sekali gus membuktikan meskipun tidak menonjol sebagai penjaring, dia tetap memainkan peranan dalam membantu jentera serangan skuad Penyu. — Facebook TFC

Baqiuddin memiliki kelebihan dari segi pengalaman serta fleksibiliti di Liga Malaysia. 

Walaupun posisi asalnya di sayap kanan, dia mampu menyesuaikan diri di sebelah kiri. 

Gaya permainannya yang lebih berdisiplin boleh membantu mengekalkan keseimbangan pasukan di bahagian serangan dan pertahanan.

Anak kelahiran Pahang yang lebih dikenli sebagai Baqi dalam kalangan penyokong itu juga setakat ini membuat empat penampilan dengan jumlah 208 minit permainan. 

Walaupun belum menemui sentuhan jaringan, pemain sayap berusia 30 tahun itu masih memberi sumbangan penting kepada skuad Sang Penyu.

Sepanjang kemunculannya musim ini, Baqi mencatat satu assist sekali gus membuktikan meskipun tidak menonjol sebagai penjaring, dia tetap memainkan peranan dalam membantu jentera serangan skuad Penyu.

Gabriel Silva

Gabriel Silva bukan sahaja tajam di depan gawang, malah gemar bergerak masuk ke tengah untuk membuka ruang kepada pemain lain.— Facebook TFC

Walaupun pertama kali bermain di Liga M, pemain import dari Brazil, Gabriel Silva bukan sahaja tajam di depan gawang, malah gemar bergerak masuk ke tengah untuk membuka ruang kepada pemain lain.

Gabriel Silva atau lebih mesra dengan panggilan Gabi melengkapkan perpindahan ke Terengganu pada musim ini setelah memenangi beberapa kejuaraan bersama kelab gergasi Kemboja Svay Rieng FC sejak 2023.

Pemain berusia 28 tahun kelahiran Brazil itu beraksi di posisi sayap kiri sebagai pilihan utama, namun turut mampu digerakkan di bahagian sayap kanan mengikut keperluan taktikal pasukan.

Kehadirannya dianggap sebagai tambahan penting buat TFC selepas kehilangan beberapa tonggak utama di bahagian serangan musim ini.

Gabi membuat lima penampilan dalam semua pertandingan bersama TFC dengan empat daripadanya terhasil dalam saingan Liga Super yang turut menyaksikannya mencetak dua gol. 

Dengan 348 minit masa permainan terkumpul, Gabi membuktikan dirinya sebagai salah satu senjata serangan baharu pasukan. 

Azziq Zahazani

Pemain muda ini mungkin belum pernah membuat debut, tetapi potensinya jelas ketika bersama skuad pembangunan Terenggan FC II.

Menurunkannya, sama ada dalam kesebelasan utama atau sebagai supersub, boleh memberi kejutan taktikal kepada lawan serta menjadi pengalaman berharga buat dirinya.

Tambahan pula Azziq yang berusia 23 pernah beraksi dengan cemerlang dan membantu pasukan TFC II dengan menyumbang beberapa gol sebelum ini. 

Malah anak jati terengganu ini juga pernah beraksi bersama Skuad Kebangsaan Bawah 23 Tahun (B23) pada 2023.  — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram