Belum putus asa, fans Kuching City mahu Gabriel Nistelrooy terus diberikan masa


  • Podium
  • Ahad, 28 Dis 2025

Nistelrooy terus menunggu jaringan pertama buat skuad The Cats musim ini. — Facebook/Kuching City FC

LAMBAKAN pilihan di posisi serangan boleh dikatakan senjata utama skuad The Cats musim ini yang terus berusaha mengejar slot ke pentas Asia buat kali pertama dalam sejarah kelab.

25 gol yang dicetak di pentas Liga Super menceritakan ketajaman jentera serangan pasukan dengan hanya Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Terengganu FC memegang rekod lebih baik.

Kredit perlu diberikan kepada penyerang utama pasukan, Ronald Ngah Wanja yang meledak 13 gol secara keseluruhan sementara pemain lain seperti Danial Asri dan Ramadhan Saifullah turut memberi sumbangan besar.

BACA LAGI: [VIDEO] Danial Asri sudah nampak, Aidil Sharin minta fans sabar andai mahu lihat impak Nistelrooy

BACA LAGI: [VIDEO] Bukan jenis 'kacang lupakan kulit', Gabriel Nistelrooy belanja bekas coach terbang ke SSI

Ngah Wanja terus menjadi mesin gol buat skuad The Cats musim ini. Facebook/Kuching City FC

Namun, ada juga yang kelihatan bergelut bersama Kuching City FC musim ini, terutamanya di barisan hadapan meskipun didampingi rakan sepasukan cukup prolifik.

Ini termasuk penyerang pinjaman dari JDT, Gabriel Nistelrooy yang hadir dengan reputasi cukup baik setelah mencuri tumpuan bersama skuad simpanan Harimau Selatan.

Daripada lapan penampilan musim ini, anak jati Sarawak itu masih belum mencetak sebarang jaringan mahupun mencipta bantuan gol buat rakan sepasukan.

Ketumpulan itu membuatkan sebilangan peminat bola sepak tempatan, termasuk menerusi laman Facebook BiKem Studio yang kecewa akan prestasi pemain berkenaan.

Nistelrooy tiba ke Borneo tanah air dengan reputasi dan potensi yang begitu besar. Facebook/JOHOR Southern Tigers

Bagaimanapun, pandangan sedemikian tidak dikongsikan penyokong kelab Borneo tanah air itu yang masih percaya bahawa Nistelrooy mampu membawa impak jika terus diberi kepercayaan.

"Janganlah terus kritik Gabriel ni, berilah dia peluang. Ini baru musim pertama bersama Kuching City FC. Ramadhan pun ambil masa juga untuk menyerlah dan beraksi konsisten.

"Saya perhatikan Gabriel cuba beraksi dengan baik, cuba untuk mengikuti apa yang diarahkan. Dia beraksi untuk pasukan, bukannya untuk individu. Dia tidak mengejar jaringan semata-mata," kata Roland Walter Lan.

"Baru semusim main Liga Super, kawan-kawannya sudah berapa musim? Lagi pun, Kuching City dalam prestasi baik, agak berisiko untuk letakkan Nistelrooy sebagai penyerang utama," kata Ikhwan Ismail.

Gabriel diharapkan mampu memanfaatkan setiap peluang diberikan barisan kejurulatihan kelab. Facebook/Kuching City FC

"Beri dia masa untuk membina keyakinan diri kerana bermain dalam Liga Super memerlukan skil dan juga pengalaman. Bermain di liga amatur sangat jauh bezanya, jadi dia perlu diberi ruang dan peluang untuk baiki kelemahan," kata Mohd Rahman.

Sepanjang kariernya, pemain berusia 25 tahun itu sering diangkat sebagai prospek negara setelah merangkul Anugerah Kasut Emas dan dipilih Pemain Terbaik Piala MFL 2024/25.

Namun, sehingga kini, harapannya untuk menembusi pasukan utama belum kelihatan cerah, baik di peringkat kelab apatah lagi di pentas antarabangsa. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram