[VIDEO] Nostalgia kelab lama, Kipre pilih tak rai gol meski jadi hero Penang benam Sang Penyu


  • Podium
  • Isnin, 05 Jan 2026

Kipre (kanan) muncul wira Harimau Kumbang selepas meledak dua gol masing-masing pada minit ke-68 dan m-89. — Facebook/penangfc

PENYERANG veteran, Tchetche Kipre mengetepikan sentimen peribadi apabila sekali lagi menjadi duri dalam daging kepada bekas pasukannya, Terengganu FC untuk menghadiahkan Penang FC kemenangan 2-0 dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, Terengganu pada Sabtu.

Kipre muncul wira Harimau Kumbang selepas meledak dua gol masing-masing pada minit ke-68 dan m-89, sekali gus memastikan tiga mata pertama Penang bagi musim 2026.

Penyerang berusia 39 tahun itu, yang pernah menyarung jersi Terengganu dari 2017 hingga 2019 dan kembali pada 2022, kekal tajam di hadapan gawang apabila pantas mengambil kesempatan atas kesilapan penjaga gol Sang Penyu, Syed Nasrulhaq Syed Bidin.

BACA LAGI: Sumandak Sabah patah hidung di Sukan SEA pilih berdamai demi aksi LWN

BACA LAGI: Tak belajar dari kesilapan, Syihan sekali lagi tinggalkan gawang undang amarah ekor Harimau Selatan

Sebagai tanda hormat kepada penyokong tuan rumah, Kipre bagaimanapun memilih untuk tidak meraikan jaringan tersebut, namun mengakui perlawanan berkenaan membawa makna istimewa buat dirinya.

“Menjaringkan gol menentang bekas pasukan memang satu perasaan yang baik kerana ia mengingatkan saya kepada kenangan indah bersama Terengganu.

“Ia pengalaman yang penuh emosi dan membuatkan saya berasa lebih baik.

“Kembali ke stadium ini sentiasa menyenangkan. Penyokong tidak mengecam saya, sebaliknya memberi sorakan. Saya amat menghargai penyokong Terengganu.

"Setiap kali saya kembali, sambutan mereka sangat baik. Mereka sentiasa di hati saya dan tempat ini terasa seperti rumah," kata Kipre yang kini mendahului senarai penjaring Penang FC dengan enam gol daripada 10 perlawanan liga.

Sebagai tanda hormat kepada penyokong tuan rumah, Kipre memilih untuk tidak meraikan dua jaringan tersebut. — Facebook/penangfc

Kemenangan itu hadir tepat pada masanya buat Harimau Kumbang yang sebelum ini hanya mencatat dua kemenangan daripada 12 perlawanan terakhir.

Dengan pusingan kedua liga bermula dan musim baharu sedang berjalan, tekanan jelas dirasai pasukan kendalian Wan Rohaimi Wan Ismail untuk mencatat keputusan positif.

“Kami memang perlu menang. Kami mahu memulakan tahun ini dengan tiga mata untuk meningkatkan moral pasukan.

“Ia perlawanan pertama pusingan kedua dan sangat penting," katanya lagi.

Tumpuan turut terarah kepada kedudukan Wan Rohaimi yang kini dikatakan berada dalam tekanan sekiranya pasukan terus mencatat keputusan negatif, namun Kipre menegaskan seluruh pasukan kekal memberikan sokongan penuh kepada jurulatih itu.

“Jurulatih kami sangat baik di dalam dan di luar padang. Dia mendengar pandangan pemain dan memberi nasihat yang berguna.

“Kadang-kadang keputusan tidak mencerminkan usaha keras, itulah kejamnya bola sepak.

“Pengurusan masih mempercayainya dan memberinya peluang, itu sangat penting. Dia melakukan yang terbaik dan mengendalikan latihan dengan baik.

“Kami hanya perlu terus menang untuk mengurangkan tekanan. Apabila pasukan menang, jurulatih akan berada dalam keadaan selamat. Kami semua berdiri teguh di belakangnya," tambahnya.

Kemenangan tersebut menyaksikan pasukan yang berpangkalan di Utara itu melonjak ke tangga ke-10 Liga Super, memintas Terengganu dengan mengumpul 11 mata daripada 13 perlawanan. — The Star/T.AVINESHWARAN

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram