DEBARAN saingan Liga A1 Semi Pro 2025/26 semakin terasa memasuki pertengahan musim apabila kira-kira enam pasukan masih merebut tempat pertama dalam carta.
Meskipun Selangor FC II kini mendahului, jarak mereka dengan pencabar lain tidaklah begitu besar yang membuatkan pertandingan itu semakin mendebarkan.
Antara yang mengekori rapat kelab Lembah Klang berkenaan merupakan Perak FA yang berada di tangga kedua dengan hanya tiga mata dibezakan berbanding pendahulu.
BACA LAGI: Perak main lain macam, tetapi Terengganu masih ada kelebihan — M Karathu
BACA LAGI: Melahirkan striker hebat seperti Allahyarham Shaharuddin Abdullah adalah sukar — Karathu

Perak FA kini menduduki tangga kedua Liga A1 Semi Pro. — Facebook/AFL
Selepas mengharungi 15 perlawanan, skuad kendalian Syamsul Saad itu sudah mencatatkan lapan kemenangan dan enam keputusan seri dengan hanya satu kekalahan dialami.
Ini membuktikan kesungguhan pasukan itu dalam merebut kejuaraan dengan rata-rata pemain muda dan import dimiliki beraksi dalam prestasi begitu memberangsangkan.
Namun, baru-baru ini, usaha merapatkan jurang terbantut selepas skuad Seladang hanya meraih keputusan seri tanpa jaringan ketika berdepan Kelantan WTS FC di tempat lawan.
Kegagalan meraih tiga mata penuh itu boleh dikatakan mengecewakan, namun ia masih boleh diterima kerana ia menyaksikan rekod tanpa kalah dalam 14 perlawanan terakhir buat Perak FA dikekalkan.

Perlawanan antara Kelantan dan Perak pernah menjadi antara pertembungan paling mendebarkan.
Begitupun, pertembungan pasukan dari kedua-dua negeri itu masih mengimbau kenangan manis buat peminat bola sepak tempatan kerana satu ketika dahulu, aksi antara Perak dan Kelantan cukup mengujakan.
Perasaan itu turut dikongsikan jurulatih berpengalaman, M Karathu yang sempat meninggalkan komen di hantaran laman Facebook Perak FA selepas perlawanan terbabit.
"Tahniah pasukan Kelantan dan Perak. Saya ada bermain dan melatih pasukan Perak. Saya ada melatih Kelantan, berjaya juarai Liga Super 2011," tulisnya.
Karathu boleh diangkat sebagai antara pengendali paling berpengaruh dalam negara setelah membimbing beberapa pasukan tempatan dan pernah mencuba nasib di luar negara.
Malah impak dibawanya pernah disaksikan secara meluas setelah membantu skuad The Red Warriors (TRW) muncul juara Liga Super 2011 yang kemudian mencetuskan dominasi mereka.

M Karathu merupakan antara pengendali paling berpengaruh dalam kancah bola sepak tempatan.
Tidak terhenti di situ, Karathu turut sempat menjawab komen peminat, Takzim Fahmi yang masih mengingati bagaimana sentuhan jurulatih itu pernah menggegarkan gergasi bola sepak tempatan, Johor Darul Ta'zim (JDT).
"Betul, kita menang dengan JDT di Ipoh pada 2015," tulisnya sebagai mengimbau kemenangan 2-1 direkodkan Perak FA hasil jaringan sendiri Alhaji Kamara dan gol daripada Charles Souza Chad.
Keputusan itu sahaja sudah cukup untuk menceritakan bagaimana pengaruh besar dibawa Karathu pernah mewarnai arena bola sepak tempatan.
Bagaimanapun, selepas kali terakhir membimbing pasukan itu, jurulatih berusia 82 tahun tersebut kemudian mengambil keputusan untuk tidak lagi berada dalam bidang berkenaan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
