Dulu pernah dipuji TMJ, apa sudah jadi padang stadium Terengganu FC?


  • Podium
  • Isnin, 05 Jan 2026

Penyokong mengkritik mutu padang ketika perlawanan antara Terengganu FC dan Penang FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Terengganu. — Facebook/Adrian Mikail

SITUASI membimbangkan dialami Terengganu FC kebelakangan ini selepas pasukan terbabit hanya merekodkan satu kemenangan dalam lima perlawanan terakhir.

Keputusan menggugurkan ketua jurulatih, Badrul Afzan Razali dan digantikan Tengku Hazman Raja Hassan tidak mencetus perubahan apabila tewas pada Ahad lalu kepada Penang FC.

Kekalahan 0-2 kepada kelab Utara tanah air itu meletakkan skuad Sang Penyu di tangga kelima dengan peluang untuk ke Asia musim depan semakin tipis.

BACA LAGI: Prestasi terumbang-ambing, tak mustahil usaha CEO Terengganu FC sia-sia

BACA LAGI: Mabella berehat lama, Terengganu FC perlu pertimbang sambar 3 bintang lokal isi kehilangan

Padang Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin pernah menerima pujian ramai pihak satu ketika dahulu. Facebook/Terengganu FC

Lebih merisaukan lagi, perlawanan yang berlangsung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Terengganu itu menampakkan masalah baharu dalam kelab.

Ini apabila padang di venue berkenaan rosak dan bertompok dipercayai akibat hujan dan sistem pengaliran air sehingga mengganggu rentak permainan.

Masalah terbabit menjadi buah mulut penyokong Terengganu FC kerana sebelum ini, kualiti padang sering menjadi pujian peminat bola sepak tempatan.

Malah, perkara berkenaan pernah mencuri perhatian pemilik Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang meletakkan stadium itu sebagai contoh.

"Kalau tidak mahu tukar kepada Zeon Zoysia, tukar kepada rumput Bermuda seperti Terengganu FC. Apabila hujan, tidak berlumpur. Masalah cow grass adalah 'soil base' dan apabila hujan, air bertakung dan berlumpur," tulisnya.

Pujian tersebut dilontarkan pada 2020 ketika padang di stadium berkenaan terjaga rapi berbanding venue perlawanan lain dalam negara.

Bagaimanapun, pandangan pemilik JDT itu mungkin berbeza ketika ini seperti mana dirasakan penyokong sendiri yang mahu perubahan segera diambil.

Selain keadaan padang, isu lain juga perlu dipandang serius pihak pengurusan kelab seperti barisan kejurulatihan dan kualiti import dibawa masuk.

Ini bagi memastikan skuad Sang Penyu dapat memberi cabaran lebih baik dan diharapkan mampu kembali menjadi pasukan digeruni seperti mana pernah disaksikan beberapa musim lalu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram