Bukan hanya Kelantan TRW, kelab Lembah Klang turut dihukum, tak boleh berbelanja 3 'transfer window'


  • Podium
  • Ahad, 28 Dis 2025

Skuad Kijang Emas merupakan salah satu daripada dua pasukan baharu yang dikenakan hukuman oleh FIFA. — Facebook/Kelantan TRW

REPUTASI bola sepak negara sekali lagi tercalar setelah dua kelab Liga Super, Kelantan The Real Warriors (TRW) dan Kuala Lumpur (KL) City FC diletakkan dalam senarai sekatan perpindahan FIFA.

Berdasarkan semakan di pangkalan data organisasi antarabangsa itu, pasukan Lembah Klang tersebut terlebih dahulu diberikan hukuman berkenaan pada 15 Disember lalu.

Empat hari berselang, sekatan terbaru diberikan terhadap Kelantan TRW dengan kedua-dua pasukan itu tidak boleh mendaftarkan pemain baharu untuk tiga jendela perpindahan.

BACA LAGI: Dihukum FIFA sejak Jumaat, Terengganu 'dibekukan' sepanjang 3 jendela perpindahan pemain

BACA LAGI: Derita Sang Badak bertambah, kini dalam senarai sekatan perpindahan FIFA lepas dibedal JDT

Kelantan TRW dan KL City FC menjadi pasukan terbaru mengalami hukuman terbabit.

Perkembangan tersebut sudah tentu mencetus kejutan terhadap peminat, terutamanya buat peminat skuad Warga Kota memandangkan kelab itu kini berada di tangga ketiga Liga Super.

Meskipun tidak disertakan alasan, hukuman sedemikian sering diberikan terhadap pasukan yang culas dari segi pembayaran gaji seperti mana pernah disaksikan sebelum ini.

Selain itu, faktor lain seperti isu dokumentasi boleh menyebabkan hal sedemikian berlaku dengan penyelesaian segera boleh membuatkan sekatan tersebut diangkat.

Kelantan TRW dan KL City FC bukanlah kelab pertama dikenakan hukuman sebegitu musim ini kerana sebelum ini, Terengganu FC turut berdepan situasi sama.

Skuad Warga Kota tidak boleh mendaftarkan pemain baharu bagi tiga jendela perpindahan akan datang. Facebook/KL City

Bagaimanapun, pihak pengurusan segera menyelesaikan isu berkenaan yang sekali gus menyaksikan pasukan Pantai Timur tersebut dapat mendaftarkan pemain baharu.

Pendekatan sebegitu perlu diguna pakai Kelantan TRW dan KL City FC sebelum jendela perpindahan kedua Liga Super dibuka tidak lama lagi.

Sekiranya lewat mengambil tindakan, usaha membawa masuk nama-nama baharu tidak akan diluluskan dengan skuad Warga Kota dilaporkan sedang dalam perancangan mengikat khidmat Sergio Pena dari Peru.

Sementara itu, skuad Kijang Emas di bawah kendalian Akmal Rizal Ahmad Rakhli turut dilaporkan berminat memperkuatkan pasukan dengan nama import Brazil, Wesley Bernaske mula dikaitkan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram