HEBOH diperkatakan dalam kalangan peminat bola sepak tempatan sebelum ini apabila bek Selangor FC, Kevin Deeromram memilih untuk ke kelab Thailand, Ratchaburi FC.
Keputusan tersebut tidaklah begitu mengejutkan memandangkan bek kiri itu pernah beraksi di kelab berkenaan selama semusim pada 2017.
Bagaimanapun, perpindahan itu masih menjadi buah mulut penyokong kerana selama separuh musim bersama skuad Gergasi Merah, dia menjadi watak utama pasukan dengan 18 penampilan direkodkan.
BACA LAGI: [VIDEO] Jaring gol kemenangan sulung Sabah, sanggul rambut Daniel Ting jadi 'sasaran' lepas geram
BACA LAGI: Khabar angin bertiup kencang, antara Junior Eldstal–Daniel Ting bakal sertai Sang Penyu

Deeromram (kiri) sah menyertai Ratchaburi FC bagi baki musim 2025/26. — Instagram/Kevin Deeromram
Malah, sepanjang tempoh tersebut, Deeromram berjaya membuktikan kualiti dimilikinya dengan mencatatkan empat gol dan dua bantuan jaringan meskipun hanya beraksi di posisi pertahanan.
Angka tersebut menjadikannya sasaran tepat buat Ratchaburi FC yang akan beraksi di suku akhir Liga Juara-Juara AFC (ACL) Two selain berusaha keras menjuarai Liga Thai dengan 11 mata dibezakan berbanding pendahulu, Buriram United.
Tetapi, usaha kelab itu memperkuatkan pasukan tidak terhenti di situ kerana baru-baru ini, skuad Golden Dragon turut dikaitkan dengan beberapa nama dalam barisan pertahanan.
Menerusi laman media sosial Think Curve, kelab itu disebut-sebut berhajat menandatangani pertahanan sayap Sabah FC, Daniel Ting.
"Ratchaburi FC mahu mengisi kuota ASEAN dengan menandatangani pemain 33 tahun, Daniel Ting yang memiliki pengalaman bersama Malaysia bagi menggantikan Jeremy Corinus selepas meninggalkan pasukan itu," katanya.

Deeromram dilaporkan menjadi salah seorang pemain yang mahu ditandatangani Ratchaburi FC. — Facebook/Think Curve
Perkara tersebut masih berada dalam status khabar angin kerana tiada mana-mana pihak yang mengesahkan perpindahan itu, termasuk kedua-dua kelab berkenaan.
Namun, ia boleh dimeterai dalam masa terdekat kerana bek sayap tersebut sudah beraksi tiga musim di Borneo tanah air dengan beberapa pencapaian sudah dikecapi.
Ini termasuk membantu skuad Sang Badak beraksi cemerlang di pentas Piala AFC 2023 selain melangkah ke perlawanan akhir Piala FA musim ini.
Jadi, sekiranya mahu mencari pengalaman baharu, Daniel Ting boleh mencuba nasib bersama Ratchaburi FC yang merupakan antara pasukan terbaik di Thailand.
Selain Daniel Ting, kelab itu turut dikaitkan dengan dua import dari Brazil, Gleyson Oliveira dan Rafael Bilu yang masing-masing diharapkan mampu membawa mereka ke tahap lebih tinggi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
