SKUAD Johor Darul Ta’zim (JDT) mungkin tampil sebagai pilihan utama untuk menjulang Piala FA, namun pemilik kelab, Tunku Ismail Sultan Ibrahim (TMJ) mengingatkan para pemain agar tidak memandang rendah kemampuan Sabah FC.
TMJ menegaskan bahawa pasukan pilihan tidak semestinya menang, lebih-lebih lagi dalam perlawanan akhir yang sering menyaksikan kejutan berlaku.
Di atas kertas, JDT memiliki kelebihan besar selepas beberapa kali menundukkan Sabah musim ini, termasuk kemenangan 8-0 dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Iskandar Puteri, Johor pada September lalu.
BACA LAGI: JDT pilih jalan sukar mara ke saingan kalah mati ACL Elite
BACA LAGI: Belasah Indonesia cukup-cukup, Akhimullah pimpin skuad hoki negara sumbang emas pertama Sukan SEA
Namun, TMJ menekankan bahawa rekod tersebut tidak memberi makna dalam perlawanan final kerana lawan lazimnya tampil dengan semangat dan intensiti berbeza.
Walaupun JDT dilabel sebagai gergasi bola sepak tempatan, mereka juga tidak terlepas daripada kejutan.
Antara yang masih diingati adalah final Piala Malaysia 2021 ketika mereka tewas 0-2 kepada Kuala Lumpur City FC.

Perlawanan akhir Piala FA bakal menyaksikan pertembungan menarik antara JDT dan Sabah FC.
Pada masa sama, TMJ turut mengimbas final Piala FA musim lalu, ketika JDT dikejutkan jaringan awal T. Saravanan dari Sri Pahang FC sebelum bangkit menang 2-1 menerusi bergandingan Bergson da Silva dan Arif Aiman Hanapi.
“Jangan anggap kita boleh menang hanya kerana pernah kalahkan mereka dengan jurang besar di sini (Stadium Sultan Ibrahim). Jangan fikir mereka akan menjadi pasukan yang sama dalam final.
“Dalam final, macam-macam perkara pelik boleh berlaku. Lihat sahaja perlawanan menentang Sri Pahang tahun lalu, tiba-tiba mereka bermain sangat kuat.
“Dan ingat ketika kita tewas 0-2 kepada Kuala Lumpur kerana ketika itu kita terlalu yakin.
“Kekalahan itu sebenarnya ‘wake-up call’ untuk kita,” kata TMJ.
Sekiranya Harimau Selatan berjaya menumpaskan Sang Badak pada Ahad (14 Disember), mereka bakal melakar sejarah sebagai pasukan pertama memenangi Piala FA empat kali berturut-turut sejak meraihnya kembali pada 2022.
Tunku Ismail turut memberi bayangan akan mengisytiharkan 15 Disember sebagai cuti khas sekiranya JDT berjaya membawa pulang trofi berprestij itu.
Final kali ini juga mengimbau kenangan edisi 1998, ketika Johor menewaskan Sabah 1-0 hasil jaringan tunggal Milan Blagojevic di Stadium Likas, Sabah.
Perlawanan akhir Piala FA pada Ahad ini bakal mempertemukan juara bertahan Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) dengan cabaran sengit Sabah di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), Kuala Lumpur, sebuah pentas terbesar yang bakal menentukan siapa Raja Piala FA musim ini. — The Star/ADAM ZAMRI
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram
