Khabar angin bertiup kencang, antara Junior Eldstal–Daniel Ting bakal sertai Sang Penyu


  • Podium
  • Selasa, 27 Mei 2025

Dua tonggak JDT yang beraksi di posisi pertahanan tersebut sesuai menjadi calon pemain baharu Terengganu musim depan. — Facebook/TFC

MUSIM 2024/2025 menyaksikan Terengganu FC (TFC) berada di kedudukan kelima liga dengan Sang Penyu merekodkan sembilan kemenangan, lapan seri dan selebihnya tewas selepas mengharungi 24 perlawanan liga.

Bukanlah satu musim yang buruk untuk skuad Sang Penyu namun masalah-masalah lain seperti kecederaan pemain utama, tonggak penting tinggalkan pasukan dan berlaku isu pengurusan menjadikan pasukan itu agak 'malang' musim ini.

Dengan saingan musim ini sudah berakhir, pastinya Sang Penyu juga sedang membuat persiapan rapi untuk membawa beberapa pemain baharu bagi membantu mereka memperbaiki kedudukan dan sekurang-kurangnya meraih satu piala pada saingan 2025/2026.

BACA LAGI: [VIDEO] Berpeluh ikat Kedah bukti Sabah tak boleh hilang Daniel Ting

BACA LAGI: [VIDEO] Kedah perlu selesai tunggakan gaji sebelum 30 April

Sehubungan dengan itu, khabar angin dalam kalangan penyokong Terengganu mendakwa bahawa pemain berpengalaman menyarung jersi Sang Penyu dengan dua nama berada dalam senarai mereka ialah Junior Eldstal dan Daniel Ting.

Dua tonggak Johor Darul Ta'zim (JDT) yang beraksi di posisi pertahanan tersebut sesuai menjadi calon pemain baharu Terengganu selepas Sang Penyu juga baru sahaja kehilangan bek tengah baru-baru ini. 

Terdahulu, bek tengah kelahiran Macedonia, Argzim Redzovic difahamkan sudah mengucapkan selamat tinggal kepada skuad Sang Penyu selepas enam tahun pemain berkenaan menabur bakti bersama pasukan tersebut.

Kehilangan Argzim membuatkan penyokong Terengganu memasang hasrat untuk menyaksikan Junior menggantikannya dengan pemain JDT itu mempunyai pengalaman beraksi di pelbagai negara seperti England, Thailand dan Indonesia.

Manakala, kehadiran Ting pula menjadi pengganti ideal kepada Alif Zakaria yang perlu berehat panjang akibat kecederaan ligamen anterior krusiat (ACL) dengan sehingga kini masih tiada bayang jika dia boleh kembali pada awal musim baharu nanti.

Ting yang baru selesai dipinjamkan ke Sabah FC sememangnya memberi impak besar buat The Rhinos untuk musim 2024/2025 khususnya dalam membantu pasukan mencipta lebih banyak peluang dan menambah kekuatan di bahagian pertahanan serta serangan.

Meskipun ia sekadar omong kosong dalam kalangan penyokong, pihak pengurusan Terengganu boleh mula memantau Junior dan Ting dengan membawa masuk mereka sebagai status pemain pinjaman untuk memperkuatkan pertahanan pada musim depan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram