[VIDEO] Jaring gol kemenangan sulung Sabah, sanggul rambut Daniel Ting jadi 'sasaran' lepas geram


  • Podium
  • Isnin, 24 Nov 2025

Tangkap layar menunjukkan detik mencuit hati berlaku apabila Ajdin Mujagic secara jenaka menyasarkan sanggul rambut Daniel.

SABAH FC akhirnya mencatatkan kemenangan pertama mereka dalam saingan Liga Super 2025/26 selepas bangkit dua kali daripada ketinggalan untuk menundukkan Penang FC 3-2 dalam perlawanan penuh dramatik pada Ahad.

Perlawanan yang berlangsung di Stadium Likas, Kota Kinabalu, Sabah itu bermula dengan kelebihan buat Penang FC apabila penyerang import mereka, Dylan Wenzel Halls, menjaringkan gol pada minit ke-17.

Namun, tuan rumah segera membalas lima minit kemudian melalui penyerang import Sang Badak, Ajdin Mujagic yang menanduk kemas untuk menyamakan kedudukan.

BACA LAGI: Lupakan Castillejo, Hidalgo kini pilihan terbaik tampung kehilangan Arif Aiman

BACA LAGI: Tugas getir JDT, bek Australia kembali kukuhkan benteng lawan di ACL Elite

Wenzel Halls kemudian meledak gol peribadi keduanya pada minit ke-39, menutup babak pertama dengan kelebihan 2-1 untuk Penang.

Babak kedua menyaksikan kebangkitan hebat The Rhinos apabila Jafri Firdaus Chew meledak gol penyamaan kedua pada minit ke-56, sebelum Daniel Ting muncul sebagai wira dengan jaringan kemenangan pada minit ke-70 hasil tandukan memanfaatkan sepakan penjuru oleh Stuart Wilkin.

Gol tersebut bukan sahaja menggegarkan Stadium Likas, bahkan mencetuskan sambutan penuh mesra dalam kalangan pemain Sabah.

Dalam video yang dikongsikan di laman Facebook, kelihatan rakan-rakan sepasukan meluru ke arah Daniel, memeluknya dalam keraian yang menggambarkan kelegaan dan kegembiraan setelah menamatkan penantian kemenangan.

Detik mencuit hati berlaku apabila Ajdin Mujagic secara jenaka menyasarkan sanggul rambut Daniel menyebabkan dia perlu memperkemaskan semula rambutnya.

Walaupun kelihatan kasar, momen tersebut menggambarkan cara unik para pemain meraikan kejayaan di atas padang sebahagian daripada semangat keceriaan dan kesepakatan pasukan selepas mencatat kemenangan penting.

Kemenangan itu sekali gus memberi suntikan moral besar buat Sang Badak, menunjukkan mereka mampu bangkit dan bersaing dalam saingan Liga Super musim ini. 

Dengan kemenangan itu, Sabah FC kini berada diri di tangga kesembilan liga dengan tujuh mata daripada sembilan perlawanan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram