Prestasi terumbang-ambing, tak mustahil usaha CEO Terengganu FC sia-sia


  • Podium
  • Rabu, 24 Dis 2025

Kekalahan kepada Sabah FC menyukarkan hasrat skuad Sang Penyu untuk ke pentas Asia musim depan. — Facebook/Terengganu FC

KEKALAHAN demi kekalahan dialami Terengganu FC dalam saingan Liga Super 2025/26 selepas pasukan itu tewas 1-3 kepada Sabah FC di laman sendiri pada Selasa.

Dalam perlawanan tersebut, skuad Sang Penyu terlebih dahulu membuka jaringan menerusi Akhyar Rashid sebelum kedudukan kembali terikat apabila pasukan pelawat mencetak gol penyamaan hasil sumbangan Fergus Tierney.

Harapan tuan rumah untuk membawa pulang sekurang-kurangnya satu mata terpadam pada babak kedua setelah tonggak skuad Sang Badak, Ajdin Mujagic menjaringkan dua gol.

BACA LAGI: Sang Penyu tak boleh hanya 'goyang kaki' terhadap impak Sheikh Farouk

BACA LAGI: Aksi lawan NSFC bukan penentu, TFC belum ada kata putus masa depan Badrul Afzan

Penyokong skuad Sang Penyu sekali lagi disajikan kekalahan di laman sendiri. Facebook/Terengganu FC

Kekalahan itu menyaksikan peluang skuad bimbingan Badrul Afzan Razali merebut slot ke pentas Asia musim depan kian tipis dengan mereka kini menghuni tangga kelima liga, enam mata dibezakan berbanding Kuching City FC di kedudukan kedua.

Sekiranya gagal berbuat demikian, reputasi Terengganu FC sebagai pencabar utama di pentas domestik akan semakin lesap meskipun perubahan besar dapat disaksikan di luar padang.

Ini kerana sejak dilantik sebagai ketua pegawai eksekutif (CEO) kelab, Sheikh Farouk Sheikh Mohamed Al-Bajrai sudah mencetuskan pelbagai perubahan seperti membawa masuk pelaburan.

Namun, sekiranya tiada impak dapat disaksikan di atas padang, sokongan terhadap skuad Sang Penyu akan semakin tipis seperti mana ditekankan penyokong, Afan Hakeem.

"Bagus CEO buat macam-macam inisiatif untuk tingkatkan perniagaan, khususnya produk dagangan pasukan. Tetapi, perlu sedar bahawa jualan tiket juga salah satu sumber kewangan kelab.

Sheikh Farouk (dua dari kiri) menampilkan prestasi cemerlang sepanjang bergelar CEO pasukan. Facebook/Terengganu FC

"Penonton akan semakin menjauhi stadium jika prestasi pasukan semakin merosot. Perlu sedar jika pemain dilepaskan adalah tonggak, pengganti segera perlu direkrut," tulisnya.

Jelas peminat Terengganu FC itu lagi, pihak pengurusan tidak boleh mengambil langkah mudah dengan membawa masuk pemain dari kelab bermasalah semata-mata ingin menutup kehilangan.

Penyokong sudah tentu mengharapkan barisan kejurulatihan dapat mengenal pasti rekrut berkualiti dalam memastikan pasukan Pantai Timur itu dapat menambah baik prestasi pada musim-musim akan datang.

Tidak cukup dengan itu, peminat terbabit sempat menekankan bahawa mana-mana jurulatih yang kurang membawa sumbangan tidak boleh dikekalkan sekiranya mahu terus bersaing.

Luahan penyokong berkenaan jelas mencerminkan harapan 'pemain ke-12' Terengganu FC secara keseluruhan yang mahu menyaksikan skuad Sang Penyu memberi saingan lebih hebat.

Terengganu FC berpeluang meningkatkan kualiti pasukan pada Januari selepas jendela perpindahan dibuka dalam membaiki kelemahan ketara dalam setiap posisi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram