PERANCANGAN pengendali Negeri Sembilan FC, Nidzam Jamil sudah tentu terbantut bagi separuh kedua musim 2025/26 setelah kehilangan khidmat pemain tengah, Alex Agyarkwa.
Tonggak skuad Jang itu diumumkan akan kembali ke pangkuan majikan tetap, Selangor FC setelah dipinjamkan dalam usaha meraih minit permainan lebih kerap sebelum ini.
Bagaimanapun, selepas kagum melihat perkembangannya bersama Negeri Sembilan FC, Christophe Gamel sebagai pengendali skuad Gergasi Merah memilih untuk memanggilnya semula.
BACA LAGI: Oday Kharoub pilih ke Afrika, berpeluang bertemu 2 bekas 'striker' Kelantan
BACA LAGI: Oday digalak lebih kerap rai jaringan tunjukkan lilitan lengan bendera Palestin
Kehilangan pemain dari Ghana tersebut semestinya menyebabkan barisan tengah skuad Jang tempang memandangkan dia memainkan peranan penting dalam pasukan.
Daripada tempoh kira-kira enam bulan di sana, Alex sempat mencatatkan sembilan penampilan dengan satu gol dan dua bantuan jaringan sempat direkodkan.
Jadi, dengan jendela perpindahan akan dibuka tidak lama lagi, Nidzam serta barisan pengurusan Negeri Sembilan FC perlu bertindak segera dalam mencari pengganti.
Berdasarkan khabar angin terbaru, pasukan itu dilaporkan sedang menimbangkan pemain tengah Palestin, Oday Kharoub sebagai sasaran utama bagi jendela perpindahan akan datang.
Jeneral berusia 32 tahun itu tidak lagi asing dengan arena bola sepak tempatan apabila pernah beraksi semusim di Pantai Timur buat Kelantan Darul Naim (KDN) FC.

Kelibat Oday Kharoub menguatkan lagi kemungkinan perpindahan itu akan dimeterai tidak lama lagi. — Facebook/UltraJang
Persembahannya bersama kelab tersebut juga begitu memberangsangkan, namun dia memilih untuk berkelana ke negara lain dan kini beraksi buat Al-Ahly SC di Libya.
Tetapi, Oday seperti terbuka untuk kembali ke Liga Super sekiranya tawaran kukuh dibuat Negeri Sembilan FC dengan pengalaman serta kebolehannya mampu membantu skuad bimbingan Nidzam.
Khabar angin itu sekali lagi dikuatkan baru-baru ini apabila kelibatnya mula dikesan peminat, Karami Kamel yang sempat mengambil gambar pemain terbabit sebelum dikongsikan di laman Facebook UltraJang.
Hantaran terbabit mengukuhkan lagi kemungkinan pemain itu akan menjadi rekrut pertama skuad Jang pada jendela perpindahan akan datang dalam usaha Nidzam mempersiapkan skuad.
Untuk rekod, sepanjang bersama skuad Kijang Emas, Oday mencatatkan empat gol dan dua bantuan jaringan daripada 17 penampilan dalam semua pertandingan.
Di peringkat antarabangsa pula, pemain itu pernah beraksi sebanyak 46 kali buat skuad kebangsaan Palestin dengan empat daripadanya hadir dalam saingan Piala Asia yang lalu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
