SIAPA sangka pasukan yang pernah mengejutkan kancah bola sepak tanah air dengan kehadiran penyokong luar biasa kini berdepan suasana yang semakin sunyi di stadium.
Negeri Sembilan FC (NSFC) sebelum ini berjaya menghidupkan kembali aura bola sepak Malaysia apabila mencatatkan kehadiran lebih 50,000 penonton dalam dua perlawanan, sekali gus menjadikan mereka antara pasukan yang paling mendapat perhatian peminat.
Ketika itu, skuad Hobin Jang Hobin dilihat berjaya menarik minat penyokong setia untuk hadir beramai-ramai ke stadium bagi menyokong pasukan kesayangan mereka.
BACA LAGI: [VIDEO] Jojo usik Miki ‘terkumat-kamit’ nyanyi Negaraku selepas raih emas Sukan SEA
BACA LAGI: Benjamin Mora kembali bekerja, dikhabar jadi pengendali kelab Indonesia

Jualan tiket antara NSFC bertemu KL City masih belum mencapai 2,000 setakat ini. — Facebook/NSFC
Namun, situasi semasa Liga Malaysia yang dianggap agak ‘sendu’ menyaksikan minat penyokong ke stadium banyak bergantung kepada prestasi dan konsistensi pasukan.
Hakikat itu kini mula dirasai NSFC apabila rekod kehadiran penyokong merosot dengan ketara.
Dalam aksi bertemu Kuala Lumpur City FC saingan Liga Super, jualan tiket NSFC dilaporkan tidak mencecah 2,000 keping, satu angka yang cukup mengejutkan memandangkan pasukan itu sebelum ini sering mencatatkan kehadiran melebihi 10,000 penyokong di laman sendiri.
Untuk rekod, hanya dua perlawanan di gelanggang sendiri menentang Selangor FC dan Kuching City FC sudah mencatatkan jumlah kehadiran keseluruhan seramai 50,378 penonton, angka yang jauh berbeza berbanding situasi semasa.
Prestasi cemerlang NSFC pada awal musim menjadi faktor utama lonjakan sokongan penyokong termasuk hampir mencipta kejutan ke atas juara bertahan Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) di tempat lawan pada 18 Ogos lalu sebelum tewas 3-5.

Kehadiran Luqman Hakim Shamsudin (depan) dalam kesebelasan utama diharap mampu menarik penyokong hadir ke stadium. — Facebook/NSFC
Malah, mereka turut mencatatkan kebangkitan dramatik untuk menewaskan Selangor FC 2-1 serta mengikat Kuching City 2-2 di hadapan penyokong sendiri.
Namun begitu, melihat kepada jumlah tiket yang terjual ketika ini, NSFC dilihat masih gagal mengekalkan momentum sokongan penyokong untuk terus hadir ke stadium.
Situasi itu mencetuskan kekecewaan dalam kalangan penyokong yang menyuarakan rasa tidak puas hati susulan jualan tiket yang rendah menjelang aksi menentang Kuala Lumpur City FC pada Sabtu apatah lagi perlawanan berlangsung di laman sendiri.
Pada masa sama, sebahagian penyokong berpendapat prestasi semasa pasukan tidak lagi memberangsangkan seperti yang dipamerkan pada awal musim.
“Sedih tengok jualan tiket, mula-mula saja meriah. Sekarang fikir-fikirkanlah, jangan cakap penyokong tak setia. Kami sudah habis duit, penat ke aksi away dan home untuk tunjukkan kesetiaan. Harap aksi lawan KL City ini tunjuk gameplay yang menarik untuk tarik penyokong hadir ke stadium,” kata Fakhrul Hafizi.
“Masa penyokong ramai tak hargai, sepatutnya bila penyokong sokong, mainlah betul-betul. Ini tiada perubahan, pertahanan pun lemah sampai sekarang,” ujar Kamil Syahmi.
“Penyokong sudah sokong, tapi pemain NSFC tak tunjuk gameplay yang cantik,” kata Arell Noah. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
