TREND pemergian pemain daripada kelab masing-masing berterusan apabila pada Rabu, seorang lagi bintang import mengambil langkah berkenaan meskipun jendela perpindahan hanya akan dibuka pada penghujung musim.
Dia merupakan tonggak merangkap kapten Kelantan Darul Naim (KDN) FC, Oday Kharoub yang beberapa minggu lalu mencetuskan kontroversi selepas berhasrat mahu mengheret majikannya itu ke badan pengadilan.
Ia berikutan luahan dibuat di laman media sosial peribadinya yang mengatakan pihak pengurusan enggan menghubunginya berikutan masalah berbangkit selain tidak memberi sebarang kenyataan mengenai nasibnya.
BACA LAGI: Oday digalak lebih kerap rai jaringan tunjukkan lilitan lengan bendera Palestin
BACA LAGI: Impian Selangor mahu rekrut import Palestin punah, Oday Kharoub tak dapat restu presiden
Kontroversi tersebut diikuti dengan keputusannya untuk meninggalkan kelab Pantai Timur berkenaan untuk menyertai kelab Libya, Al Ahli SC yang beraksi baik di peringkat domestik.
Berdasarkan statistik ketika ini, kelab terbabit berada dalam kedudukan teratas Kumpulan 4 bagi saingan Zon Barat di negara Afrika itu selepas mencatatkan kemenangan dalam kesemua lima perlawanan.
Jadi, kehadiran Oday yang merupakan pemain kebangsaan Palestin itu akan membawa kestabilan dalam pasukan kerana dia memiliki kemahiran dalam situasi bola mati selain pintar dalam merencanakan pergerakan.
Kehadiran jeneral tengah berusia 31 tahun terbabit sudah tentu diharapkan dapat membantu skuad bimbingan Chakri Khatoui untuk layak ke Liga Juara-Juara CAF di Afrka selepas kali terakhir menyertai pertandingan itu pada 2017.
Selain itu, perpindahan Oday ke Libya turut menyaksikannya berada dalam senarai pemain import di samping dua lagi bekas pemain KDN FC, Chadrack Muzungu dan Valdumar yang beraksi di posisi penyerang.
Valdumar (kiri) dan Muzungu gagal memberi impak buat skuad Kijang Emas.
Muzungu bukanlah import berbaloi buat skuad Kijang Emas kerana gagal menjaringkan sebarang gol dalam empat penampilan buat pasukannya itu selain pernah gagal menyempurnakan sepakan penalti ketika berdepan Sabah FC.
Pemain yang pernah beraksi buat Republik Congo sebanyak dua kali itu akhirnya mengambil keputusan untuk meninggalkan kelab Liga Super tersebut pada Julai tahun lalu dan menyertai Al Nasr FC.
Valdumar juga bergelut sepanjang beberapa bulan beraksi di Pantai Timur kerana dalam sembilan penampilan direkodkan, dia tidak mencetak sebarang jaringan sebelum berpindah pada Ogos.
Masalahnya di hadapan pintu gol berterusan kerana sehingga kini, penyerang berusia 27 tahun berkenaan masih belum mencatatkan gol tunggal selepas lapan penampilan Liga Perdana Libya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram