Ibarat deja vu, Nidzam Jamil alami mimpi ngeri sama seperti bersama Selangor


  • Podium
  • Isnin, 08 Dis 2025

Nidzam Jamil pernah mengemudi Selangor FC sebelum mengambil keputusan meninggalkan Gergasi Merah pada Oktober 2024.

KETUA Jurulatih Negeri Sembilan FC (NSFC), Nidzam Jamil kini berdepan detik sukar yang mengingatkan kembali pengalaman pahitnya ketika membimbing Selangor FC apabila desakan segelintir penyokong agar dia meletakkan jawatan mula kedengaran.

Situasi itu hadir meskipun skuad Jang pada awal musim mempamerkan peningkatan ketara di bawah sentuhannya, satu corak yang hampir sama dengan permulaan positifnya bersama Selangor sebelum ini.

Bagaimanapun, prestasi yang tidak konsisten sejak beberapa minggu lalu kembali membuka ruang kritikan terhadap jurulatih berusia 45 tahun itu.

BACA LAGI: [VIDEO] Kata kesat terhadap keluarga sudah melampau, Nidzam Jamil tempelak penyokong skuad Jang

BACA LAGI: Rasa macam kena campak bawah bas — Mo Salah

Musim ini, NSFC yang mengakhiri saingan Liga Super musim lalu di kedudukan tercorot tampil lebih garang apabila berjaya menghadiahkan kejutan dalam aksi pembukaan menentang juara bertahan, Johor Darul Ta'zim (JDT) pada 12 Ogos lalu.

Walaupun tewas 3-5, keberanian mencetak tiga gol ke atas gergasi bola sepak tempatan itu mula membuka mata banyak pihak.

Di bawah kendalian Nidzam, NSFC terus mengorak langkah dengan kemenangan ke atas PDRM FC, Selangor FC dan Sabah FC sekali gus menjadikan mereka antara pasukan yang perlu diberi perhatian pada awal musim.

Di bawah kendalian Nidzam, skuad Jang menampilkan peningkatan yang cukup positif dalam saingan Liga Malaysia musim 2025. — Facebook/NSFC

Tidak menghairankan apabila pujian terhadap Nidzam mula diberikan, dengan penyokong meletakkan harapan tinggi agar pasukan dapat mengekalkan momentum tersebut

Namun, rentak cemerlang NSFC tidak bertahan lama selepas sekadar seri dengan Kuching City FC.

Lebih mengecewakan apabila Penang FC menjadi pasukan pertama menewaskan mereka dengan keputusan 1-2 pada 4 Oktober lalu.

Meskipun bangkit menumpaskan PDRM pada 25 Oktober, itu menjadi kemenangan terakhir sebelum NSFC kembali terperangkap dalam keputusan hambar seri menentang DPMM FC dan Terengganu FC, serta tewas 0-2 kepada Melaka FC baru-baru ini.

Rentetan keputusan mengecewakan itu mencetuskan semula laungan 'Nidzam out' di media sosial, menambah tekanan terhadap jurulatih kelahiran Kajang itu.

Keadaan berkenaan sekali gus mengingatkan penyokong bola sepak tempatan terhadap senario yang berlaku ketika dia bersama Selangor FC.

Nidzam Jamil kini berdepan tekanan apabila ada segelintir penyokong mahu dia meletakkan jawatan sebagai pengendali NSFC.— Facebook/NSFC

Nidzam sebelum ini mengejutkan ramai apabila memilih untuk meninggalkan Selangor FC pada Oktober 2024 walaupun skuad Gergasi Merah ketika itu berada dalam prestasi meyakinkan dengan menduduki tangga kedua Liga Super, mara ke final Piala FA dan kekal kebal dalam saingan Kumpulan H Liga Juara-Juara AFC Two (ACL2).

Bagaimanapun, keadaan mendesak termasuk kekalahan memalukan 1-6 di tangan JDT dalam perlawanan akhir Piala FA 2024 dan momentum tidak menentu menyaksikan khidmatnya tidak dihargai sebelum dia mengambil keputusan meninggalkan skuad Gergasi Merah.

Nidzam melepaskan jawatan selepas 13 perlawanan, keputusan yang masih menjadi tanda tanya dalam kalangan penyokong memandangkan prestasi Selangor berada pada landasan positif ketika itu.

Kini, dengan tekanan kembali menghimpit selepas prestasi NSFC merudum, ramai melihat situasi ini seolah-olah mengulangi episod yang sama seakan deja vu yang sukar dielakkan oleh Nidzam. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, Instagram dan Telegram