Dihukum FIFA sejak Jumaat, Terengganu 'dibekukan' sepanjang 3 jendela perpindahan pemain


  • Podium
  • Isnin, 24 Nov 2025

Masih belum dipastikan punca sebenar di sebalik hukuman FIFA itu dikenakan. — Facebook/Terengganu FC

TERENGGANU FC menjadi pasukan Liga Super terkini yang diletakkan dalam senarai sekatan perpindahan selepas hukuman itu dikenakan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) pada Jumaat lalu.

Semakan di laman sesawang badan induk bola sepak antarabangsa itu mendapati kelab Pantai Timur berkenaan tidak boleh terlibat dalam sebarang aktiviti perpindahan untuk tiga jendela akan datang.

Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan punca di sebalik sekatan tersebut dikenakan dengan hukuman sebegitu sering dikenakan atas isu tunggakan gaji.

BACA LAGI: 'Dah boleh sign ex Buriram United', sekatan perpindahan Kelantan ditarik balik

BACA LAGI: Derita Sang Badak bertambah, kini dalam senarai sekatan perpindahan FIFA lepas dibedal JDT

Penyokong pasti tertanya-tanya akan sebab hukuman tersebut dikenakan. — Facebook/Terengganu FC

Ini kerana pasukan Liga Super lain pernah dikenakan sekatan perpindahan oleh FIFA seperti Kedah Darul Aman (KDA) FC dan Kelantan FC atas sebab berkenaan.

Namun, melihat kepada situasi Terengganu FC ketika ini, tiada sebarang ura-ura mengatakan pihak pengurusan gagal membayar gaji pemain pada masanya.

Persoalan berkenaan perlu segera dijawab pihak pengurusan yang perlu memberi penjelasan untuk mendapatkan semula kepercayaan penyokong.

Ini bukanlah kali pertama kelab itu dihalang untuk terlibat dalam sebarang aktiviti perpindahan kerana hukuman itu pernah dikenakan pada Mei lalu.

Menyedari tindakan FIFA tersebut, Terengganu FC segera menyelesaikan isu berbangkit di luar padang dengan mereka hanya berada dalam senarai itu untuk kira-kira dua minggu.

Penyelesaian segera dijangka diambil dalam masa terdekat memandangkan skuad Sang Penyu perlu segera membawa masuk wajah-wajah baharu bagi separuh kedua musim 2025/26. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram