Nostalgiknya aksi berdepan Penang, hadiahkan kemenangan pertama buat Gamel di Liga Super


  • Podium
  • Sabtu, 06 Dis 2025

Gamel kelihatan cukup puas dengan kemenangan diperoleh ketika berdepan Penang FC pada 2022. — Facebook/Sri Pahang FC

KEPUTUSAN tidak menentu dialami Selangor FC ketika ini apabila pasukan Lembah Klang itu terus terumbang-ambing dalam hampir setiap pertandingan.

Satu mata dikutip ketika berdepan Bangkok United dalam saingan Liga Juara-Juara AFC (ACL) Two disusuli dengan penyingkiran tragis daripada saingan Piala FA selepas tumpas kepada Sabah FC menerusi penentuan sepakan penalti.

Harapan mereka untuk kembali ke landasan kemenangan turut tersekat selepas sekali lagi diikat, kali ini ketika bertemu Dynamic Herb Cebu dalam perlawanan ketiga Kumpulan A Piala Shopee.

BACA LAGI: 'Anda jawab di atas padang', Gamel 'bakar' semangat Faisal Halim harungi detik sukar

BACA LAGI: Selepas menang besar, Gamel tuntut Selangor lebih 'dahaga' jumpa Sabah FC  

Gamel perlu segera meletakkan skuad Gergasi Merah di landasan bagi musim 2025/26. Facebook/Selangor FC

Momentum tidak menentu itu menyaksikan penyokong enggan meletakkan harapan tinggi buat skuad Gergasi Merah yang sudah saban musim dikecewakan.

Tetapi, usaha terbaik masih perlu dipamerkan dalam aksi-aksi akan datang, termasuk bagi perlawanan selepas ini berdepan Penang FC di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang pada Ahad.

Pertembungan itu boleh menyediakan platform bagi Selangor FC meraih tiga mata penuh yang akan sekali gus mengecilkan jurang mata dengan Kuching City FC di tangga ketiga liga.

Malah, perlawanan menentang Penang FC juga merupakan sesuatu yang cukup istimewa, terutamanya buat Christophe Gamel sebagai pengendali interim skuad Gergasi Merah.

Tiga mata berdepan Penang FC boleh memperbaiki kedudukan skuad Gergasi Merah. Facebook/Selangor FC

Umum mengetahui bahawa sebelum bersama kelab Lembah Klang itu, jurulatih kelahiran Perancis tersebut terlebih dahulu menimba ilmu akan bola sepak tempatan bersama Sri Pahang FC pada 2022.

Pelantikan itu dibuat kerana Gamel memiliki pengalaman luas dalam bidang tersebut selain bertugas sebagai pembantu kepada Datuk Dollah Salleh dalam skuad Tok Gajah pada musim sebelumnya.

Namun, seperti kebiasaan, jurulatih itu berdepan ketidaktentuan sepanjang tempoh awalnya bersama kelab Pantai Timur tersebut apabila gagal meraih sebarang kemenangan dalam tiga perlawanan pertama Liga Super.

Dua kekalahan kepada Kedah Darul Aman (KDA) FC dan Melaka United serta keputusan seri semasa berdepan Petaling Jaya (PJ) City FC menunjukkan betapa sukarnya tempoh dihadapi Gamel bersama Sri Pahang FC.

Gamel berdepan tekanan berikutan prestasi tidak menentu skuad Tok Gajah. Facebook/Sri Pahang FC

Bagaimanapun, penantiannya untuk mencatatkan kemenangan pertama di pentas liga berakhir pada 23 April tahun itu ketika berdepan Penang FC di laman sendiri.

Dalam perlawanan itu, kecekapan penjaga gol Harimau Kumbang, Khatul Anuar beberapa kali mengelak Sri Pahang FC daripada mencetak jaringan.

Skuad Tok Gajah akhirnya berada di depan hasil rembatan deras Nor Azam Azih, namun kelebihan itu tidak berkekalan apabila pasukan pelawat mengikat kedudukan menerusi gol Sukri Hamid.

Tersentak dengan jaringan penyamaan itu, anak-anak buah Gamel menggandakan usaha sebelum akhirnya berjaya menjaringkan gol kedua perlawanan hasil sumbangan David Rowley.

Kemenangan pertama skuad Tok Gajah dalam Liga Super 2022 hadir ketika berdepan Penang FC. Facebook/Sri Pahang FC

Jaringan itu tidak memberi keselesaan buat Sri Pahang FC yang sekali lagi mencetak jaringan dengan kali ini, Sean Giannelli meletakkan namanya dalam senarai penjaring bagi memastikan kemenangan 3-1.

Tiga mata dikutip di laman sendiri itu bukan sahaja memperbaiki kedudukan skuad Tok Gajah dalam carta, malah menjadi 'talian hayat' buat Gamel dalam karier kejurulatihannya bersama pasukan itu.

Meskipun khidmatnya hanya bertahan sehingga Julai 2022, kemenangan ke atas Penang FC itu masih merupakan sesuatu yang amat bermakna buat jurulatih berusia 53 tahun terbabit.

Keputusan sedemikian pasti mahu diulangi Gamel bersama skuad Gergasi Merah dalam usaha mencipta momentum memasuki tempoh pertengahan musim 2025/26. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram