BEKAS penyerang sensasi Kedah FA, Khyril Muhymeen mengakui pernah menerima tawaran lumayan daripada Johor Darul Ta'zim (JDT) ketika berada di kemuncak kariernya.
Perkara itu didedahkan Khyril dalam satu episod podcast bersama Budak Bola di YouTube.
Dalam sesi tersebut, Khyril yang turut pernah menyarung jersi Selangor FC mendedahkan bahawa JDT datang dengan tawaran yang disifatkannya sebagai 'tidak masuk akal' pada musim 2012 sehingga mampu mengubah hidupnya sebagai pemain profesional.
BACA LAGI: Skuad 'feeder' tak layak, Kedah-Perak antara 5 pasukan Liga A1 buru slot Piala Malaysia
BACA LAGI: [VIDEO] Hatrik lawan, kad merah 'midfield' jadi penamat tragis kali terakhir Sabah ke pentas final
“Dalam Malaysia banyak juga tawaran antaranya Selangor, Kelantan. JDT pun pernah offer pada 2012. Waktu itu, JDT bagi harga yang memang tak masuk akal, kira boleh ubah hidup kita,” katanya.
Namun, Khyril menjelaskan bahawa keadaan peribadi yang berat pada waktu itu membuatkan dia terpaksa menolak tawaran tersebut.
“Tapi mungkin disebabkan Allahyarham mak saya meninggal waktu itu, saya terpaksa tolak. Saya pun sudah rasa nak give up, mental tengah down, mak pula meninggal. Saya sampai terfikir nak berehat setahun,” ujarnya.
Khyril berkata, dia kemudian memaklumkan kepada JDT bahawa dia tidak dapat menerima tawaran tersebut.
Selain faktor peribadi, kontraknya bersama Kedah ketika itu turut menghalang perpindahan berkenaan.
“Dengan harga yang mereka bagi, memang saya hargai tapi Kedah pun masa tu saya masih ada kontrak. Kita tak boleh langgar kontrak,” katanya.
Pendedahan itu sekali lagi membuka kisah perjalanan karier Khyril antara penyerang tempatan yang pernah digeruni dalam arena bola sepak Malaysia.
Kemunculan pertama Khyril yang sangat memberangsangkan bersama Kedah FA telah meletakkan dia sebaris dengan pemain lain yang digeruni.
Anak jati kelahiran Kedah itu adalah antara pemain yang membawa skuad Kedah menjuarai kejuaraan treble Piala Malaysia, Piala FA dan Liga Super pada 2007 dan 2008.
Selain beraksi di negeri sendiri, Khyril juga pernah mewakili beberapa pasukan lain pada penghujung kariernya seperti Selangor FC, PJ City FC dan Negeri Sembilan FC.
Kini, dia difahamkan terlibat dalam barisan kejurulatihan skuad belia Kuala Lumpur (KL) City FC, namun tidak dipastikan sama ada peranan itu masih dipikul atau sebaliknya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti diTwitter,Facebook,Instagram,WhatsApp Channel dan Telegram
