AKSI getir Liga Super berlangsung pada Rabu apabila menemukan dua pasukan dalam kelompok tiga teratas carta iaitu Kuala Lumpur (KL) City FC dan Kuching City FC di Stadium Cheras, KL.
Pertembungan itu sememangnya hangat seawal babak pertama permainan selepas penyerang pelawat, Ronald Ngah Wanja meledak pada minit ke-31 hasil sepakan sudut.
Namun, harapan skuad The Cats untuk memasuki bilik persalinan dengan kelebihan tidak kesampaian apabila tuan rumah mengikat kedudukan menerusi Safawi Rasid pada masa kecederaan.
BACA LAGI: Selangor bukan lagi pilihan, data lebih berpihak KL City-TFC sebagai pencabar utama JDT musim ini
BACA LAGI: Paroi kembali sunyi, aksi hadapi pencabar Liga Super masih gagal tarik penonton

Dua pasukan dalam kelompok tiga teratas berkongsi satu mata. — Facebook/MFL
Kedudukan 1-1 kekal sehingga wisel penamat ditiupkan yang menyaksikan Kuching City FC kini di tangga kedua sementara KL City FC berada di kedudukan ketiga.
Bagaimanapun, perlawanan itu membawa makna besar buat peminat arena bola sepak tempatan kerana ia menyaksikan pertemuan semula beberapa bintang Johor Darul Ta'zim (JDT).
Umum mengetahui bahawa kedua-dua kelab itu mengambil kesempatan di sebalik keputusan juara bertahan Liga Super tersebut untuk melepaskan sebahagian besar pemain.
Jadi, pertembungan di Stadium Cheras berkenaan menyaksikan sesetengah daripada mereka kembali berkongsi padang seperti mana disedari pengguna Facebook, BiKem Studio.

10 bekas pemain JDT yang kini beraksi buat Kuching City FC atau KL City FC. — Facebook/BiKem Studio
Berdasarkan senarai, terdapat 10 bekas pemain JDT yang kini beraksi untuk kedua-dua pasukan seperti Safawi, Syamer Kutty Abba dan Syazwan Andik yang bersama KL City FC.
Sementara itu, Kuching City FC yang menampilkan peningkatan ketara di bawah Aidil Sharin Sahak dibarisi pemain seperti Danial Amier, Gabriel Nistelrooy dan Ramadhan Saifullah yang pernah dahulu bersama skuad Harimau Selatan.
Meskipun berdepan isu peluang terhad bersama JDT, kesemua daripada mereka masih mampu menampilkan aksi terbaik tanpa mengira pasukan diwakili pada hari ini.
Ini sekali gus membuktikan peluang berlatih dan beraksi bersama pasukan Selatan tanah air itu cukup untuk memberi pengalaman bermakna yang kemudian boleh dicurahkan bersama pasukan baharu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
