Derita Sang Badak bertambah, kini dalam senarai sekatan perpindahan FIFA lepas dibedal JDT


  • Podium
  • Khamis, 25 Sep 2025

Sang Badak baru-baru ini tewas 0-8 kepada JDT dalam aksi Liga Super pada Ahad. — Facebook/SabahFC

KELAB Johor Darul Ta'zim (JDT) memastikan Sabah FC terus kempunan memburu kemenangan pertama apabila mudah membelasah skuad Badak 8-0 pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Kota Kinabalu, Sabah pada Ahad.

Kemenangan itu menyaksikan skuad Harimau Selatan mengukuhkan kedudukan di tangga teratas dengan mengumpul 18 mata selepas mengharungi enam perlawanan dan masih kebal dengan rekod tanpa kalah dalam saingan liga elit domestik.

Hatrik daripada Joao Figueiredo dan Bergson da Silva, selain Oscar Arribas dan Raul Parra yang masing-masing mencetak satu jaringan tunggal untuk memberi kemenangan besar kepada Harimau Selatan.

BACA LAGI: Pelik tapi benar, Sabah-Penang terikut jejak 2 pendatang baharu Liga Super

BACA LAGI: Teruk dibaham JDT, tiba masanya Sabah selesaikan 3 'barah' utama

Sementara, skuad Sang Badak pula kini berada pada tangga ke-10 apabila hanya mencatat tiga seri dan satu kekalahan selepas mengharungi empat perlawanan Liga Super setakat ini.

Kekalahan besar di tangan JDT berkenaan jelas menambah tekanan buat ketua jurulatih dan pemain yang kini terdesak mencari rentak serta mengembalikan keyakinan penyokong setia mereka.

Lebih memilukan, kekalahan itu disusuli berita bahawa The Rhinos difahamkan dikenakan sekatan perpindahan oleh FIFA dengan hukuman itu bermula pada 16 September 2025 dan akan berkuat kuasa selama tiga jendela perpindahan.

Sekatan tersebut bermakna Sabah FC tidak dibenarkan mendaftarkan sebarang pemain baharu dalam tempoh berkenaan, sekali gus menyukarkan usaha pasukan itu untuk memperkukuh skuad menghadapi baki saingan musim ini.

Tidak pasti puncanya namun ramai penyokong mendakwa hukuman berkenaan dipercayai berpunca daripada isu tunggakan gaji atau pelanggaran kontrak pemain yang masih dalam siasatan FIFA.

Bagaimanapun, pihak pengurusan Sabah setakat ini masih belum mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung punca sebenar atau langkah rayuan yang akan diambil disebabkan keputusan tersebut.

Tangkap layar info Sabah FC dikenakan sekatan perpindahan FIFA.

Situasi itu bukan sahaja memberi kesan kepada perancangan pasukan, malah boleh menjejaskan moral pemain dan penyokong yang mengharapkan kebangkitan Sang Badak dalam baki saingan Liga Super 2025.

Dengan larangan perpindahan itu, Sabah berdepan cabaran getir untuk mengekalkan daya saing, terutama apabila pasukan-pasukan lain sedang giat menambah kekuatan menjelang jendela perpindahan akan datang. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram