Ramai rakan JDT di Kuching antara faktor Syafiq Ahmad kembali bernyawa dalam Liga M


  • Podium
  • Selasa, 25 Nov 2025

Syafiq diberikan peluang untuk tampil dalam 11 perlawanan termasuk dua aksi Piala FA musim ini. — Facebook/DPMMFC

OGOS lepas, penyerang lokal berpengalaman iaitu Syafiq Ahmad menjadi taruhan pendatang baharu Liga Super, DPMM FC bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim 2025-2026.

Ia merupakan perpindahan menggembirakan buat Syafiq selepas berdepan musim sukar bersama Kedah Darul Aman (KDA) susulan isu kewangan yang melanda kelab berkenaan pada musim lepas.

Bukan itu sahaja, ia juga merupakan jalan penyelesaian terbaik buat Syafiq selepas tidak mendapat minit permainan yang banyak bersama kelab majikannya, Johor Darul Ta'zim (JDT).

BACA LAGI: Tugas getir JDT, bek Australia kembali kukuhkan benteng lawan di ACL Elite

BACA LAGI: Lupakan Castillejo, Hidalgo kini pilihan terbaik tampung kehilangan Arif Aiman

Kira-kira empat bulan bersama DPMM FC, bekas penyerang Harimau Malaya berkenaan diberikan peluang untuk tampil dalam 11 perlawanan termasuk dua aksi Piala FA musim ini.

Bagaimanapun, tiada rezeki buat Syafiq apabila pemain berusia 30 tahun tersebut masih tidak merekodkan sebarang gol mahupun bantuan jaringan untuk kelab Brunei berkenaan.

Gagal memberi pulangan dalam bentuk jaringan berkenaan membuatkan penyokong DPMM mula mempersoalkan sama ada Syafiq masih relevan untuk bermain di pentas Liga Super.

Di sebalik aksi hambar itu, Syafiq mungkin lebih sesuai membuka lembaran baharu bersama pasukan lain jika peluang berkenaan hadir pada jendela perpindahan akan datang.

Antara destinasi yang boleh dipertimbangkan termasuk Kuching City, sebuah kelab yang kini dibarisi ramai bekas pemain JDT, rakan lama yang pernah bersama Syafiq sewaktu zaman kegemilangannya di Selatan tanah air.

 

 

Seperti sebelum ini, video yang dimuat naik oleh Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) di laman Instagram mencuri perhatian penyokong tanah air apabila memaparkan keakraban Syafiq dan Haziq Nadzli.

Dalam video tersebut, kedua-dua pemain itu kelihatan saling bertegur sapa dengan penuh mesra, seolah-olah melepaskan rindu selepas sekian lama tidak bersama dalam satu pasukan.

Selain Haziq, beberapa lagi bekas pemain Harimau Selatan turut menampilkan kebangkitan bersama Kuching City termasuk Gabriel Nistelrooy, Hazwan Bakri, Ramadhan Saifullah dan Daniel Amier.

Faktor keserasian yang pastinya masih utuh lagi itu dilihat mampu membantu penyerang berkenaan menyesuaikan diri dengan lebih cepat sekiranya perpindahan itu berlaku.

Selain itu, reputasi ketua jurulatih Kuching City iaitu Aidil Sharin Sahak sebagai pembina semula karier pemain turut menjadi antara tarikan utama untuk membawa masuk pemain yang kian hilang sentuhan seperti Syafiq.

Pengendali The Cats,  Aidil Sharin Sahak. — Facebook/KuchingCity

Aidil Sharin sebelum ini dikenali mampu mengembalikan prestasi terbaik pemain yang terpinggir atau hilang keyakinan, dan pendekatan taktikalnya dilihat bersesuaian dengan gaya permainan Syafiq yang bijak mencari ruang di dalam kotak penalti.

Tambahan pula, Syafiq memerlukan minit permainan lebih konsisten untuk memulihkan semula prestasinya, sesuatu yang sukar diperolehnya ketika bersama KDA, JDT dan kini di DPMM FC.

Persekitaran baharu yang lebih kompetitif serta peranan utama dalam jentera serangan berkemungkinan menjadi kunci kebangkitan semula kariernya di Liga Malaysia. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram