SELANGOR FC bakal menutup kempen mereka dalam Kumpulan G Liga Juara-Juara AFC Two (ACL2) dengan menerima kunjungan Lion City Sailors di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Selangor pada Rabu.
Aksi tersebut menjadi peluang terakhir Gergasi Merah untuk menambah mata selepas hanya mengutip satu mata hasil keputusan seri 1-1 ketika berdepan Bangkok United di gelanggang lawan sebelum ini.
Justeru itu, sekurang-kurangnya satu lagi mata di halaman sendiri dianggap penting sebagai penutup tirai yang lebih bermaruah.
BACA LAGI: Ibarat deja vu, Nidzam Jamil alami mimpi ngeri sama seperti bersama Selangor
Kehadiran Lion City Sailors ke Malaysia bukanlah sesuatu yang asing.
Wakil kelab dari Singapura itu sebelum ini pernah bertandang ke Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Iskandar Puteri, Johor bagi menghadapi Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam saingan Kumpulan B Piala Shopee pada 21 Ogos lalu.
Namun, yang menarik perhatian ialah hubungan sejarah kelab tersebut dengan satu lagi pasukan Malaysia iaitu Kedah Darul Aman (KDA) FC.
Sang Kenari yang ketika itu masih berstatus Kedah FA menjadi kelab tempatan terakhir yang menerima kunjungan Lion City Sailors dalam saingan Piala AFC.
Lebih manis buat penyokong Hijau Kuning, pertemuan terakhir antara Kedah dan Lion City Sailors menyaksikan Sang Kenari mencatat kemenangan besar 4-1 ke atas lawan dari Singapura itu.
Ketika itu, Kedah diperkuatkan oleh penyerang berbisa seperti Marlon Alex James dan Khyril Muhymeen serta dibantu oleh Nelson San Martin dan ia sekali gus kekal sebagai detik yang masih segar dalam memori penyokong.

Kedah pernah mencipta sejarah apabila mara ke suku akhir Piala AFC 2008.
Sebagai tambahan fakta, Lion City Sailors pada ketika itu masih dikenali sebagai Home United FC sebelum melalui proses penjenamaan semula.
Pertembungan Kedah menentang Home United itu berlangsung pada 14 Mei 2008 dan ia merupakan aksi dalam saingan Piala AFC.
Kemenangan besar Kedah dalam perlawanan tersebut bukan sahaja melonjakkan reputasi mereka, malah memperlihatkan kekuatan kelab Malaysia pada peringkat serantau ketika era itu.
Kini, selepas lebih sedekad berlalu, wakil Singapura itu kembali lagi ke Malaysia, kali ini untuk menentang Selangor dalam misi memburu mata penting dalam ACL2.
Pertembungan di MBPJ dijangka sengit memandangkan kedua-dua pasukan mahu menutup kempen dengan keputusan positif.
Aksi tersebut turut memberi peluang buat Selangor untuk mengulangi kejayaan kelab tempatan lain yang pernah menewaskan Lion City Sailors.
Sama ada Gergasi Merah mampu mengikut jejak langkah Kedah, segalanya bakal terjawab di gelanggang Rabu ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram
