Tak sama hype seperti Bojan Ciger, nama Cleylton wajar jadi igauan lawan


  • Podium
  • Selasa, 23 Jul 2024

Cleylton setakat ini sudah tampil dalam tujuh perlawanan Liga Malaysia termasuk dua aksi Piala FA. — Facebook/KDAFC

TIDAK dinafikan Kedah Darul Aman FC (KDA) FC musim ini masih terpalit dengan kekangan kewangan namun pasukan pencarian pemain mereka wajar mendapat pujian hebat susulan mutu pemain baharu yang dibawa masuk pada Mei lepas.

Antara pemain baharu yang dianggap sebagai salah seorang tonggak utama musim ini ialah Jose Cleylton rentetan aksi berkualitinya dalam memainkan peranan sebagai bek tengah pasukan.

Pemain kelahiran Brazil itu tiba pada awal tahun ini bagi menggantikan posisi yang ditinggalkan bekas pertahanan tengah, Bojan Ciger namun nama Cleylton masih belum terlalu digembar-gemburkan dalam kalangan penyokong.

BACA LAGI: Ada kemungkinan Sony didenda, kena gantung akibat kritik pengadil

BACA LAGI: Bukan setakat Sony Norde, FAM pernah denda Faisal, TMJ, coach Kelantan akibat terlanjur kata

Jika dibandingkan dengan Bojan sebelum ini, nama Cleylton tidak terlalu disoroti oleh penyokong meskipun khidmat pemain berusia 31 tahun itu sering ditagih jurulatih Kedah, Nafuzi Zain.

Seperti yang diulas oleh laman penyokong Kedah, darah hijau kuning supporter club berkongsi bahawa kekuatan dan ketinggian Cleylton berhasil menjadi benteng paling ampuh ketika menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) baru-baru ini.

BOJAN

Bojan Ciger menyertai Neftchi FC selepas setahun berkhidmat untuk Kedah. — Facebook/KDAFC

"Seorang yang jarang namanya disebuti boleh semua orang seperti nama pertahanan sebelum ini iaitu Bojan Ciger. Tetapi khidmatnya di atas padang cukup ditagihkan oleh coach Nafuzi Zain kerana ketenangan, ketinggian dan kekuatannya.

"Bila dilihat kembali prestasinya semasa menentang JDT, dia bermain cukup baik di pertahanan tengah. Combo duo pertahanan Cleylton dan Irfan (Zakaria) setakat ini nampak baik sehingga JDT sukar menyerang di kawasan tengah.

"Disebabkan itu kawasan Rizal (Ghazali) dan Arif Farhan amatlah sibuk pada malam itu (Jumaat). Dia juga mempunyai sepakan roket padu yang admin rasa jika tepat boleh gol bola itu kerana kekuatan bola yang padu sememangnya ada pada dia.

"Sebelum ini di perlawanan persahabatan, admin rasa dia pernah membuat sepakan seperti itu malangnya palang pula menjadi penghalang," puji laman penyokong itu yang merasakan nama Cleylton wajar menjadi igauan lawan.

Kualiti persembahan Cleylton dalam memainkan peranannya sebagai bek tengah membantu Kedah sekurang-kurangnya tidak mengalami kekalahan besar di tangan Harimau Selatan dalam aksi separuh akhir pertama Piala FA baru-baru ini.

Kedah tewas tipis di tangan JDT dengan keputusan 1-2 dalam perlawanan di Stadium Darul Aman, Alor Setar pada Jumaat lepas hasil jaringan dari Romel Morales dan Oscar Arribas.

Peluang untuk mara final Piala FA bagaimanapun boleh dimanfaatkan skuad Hijau Kuning dengan membuat persiapan rapi menjelang pertemuan di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri dalam masa dua minggu lagi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram