SETIAP pemain import yang berkelana ke tanah air pasti membawa bersama pelbagai memori, ada yang manis dan terdapat juga yang mahu dilupakan.
Bagi sebahagian daripada mereka, pengalaman pahit seperti isu tunggakan gaji sering menjadi sebab utama untuk mencari haluan baharu demi kelangsungan karier dan kehidupan.
Namun, perpindahan yang pada awalnya dilakukan kerana terpaksa itu akhirnya menjadi titik perubahan besar dalam perjalanan bola sepak mereka apabila sebahagian mereka mencipta nama di pentas lebih tinggi.
BACA LAGI: Tugas getir JDT, bek Australia kembali kukuhkan benteng lawan di ACL Elite
BACA LAGI: Tewas semua 3 aksi ACL Two, prestasi Selangor memalukan setaraf jaguh kampung
Ada yang berhijrah ke liga luar demi masa depan lebih terjamin, sebelum bakat mereka kembali menyerlah sehingga berjaya beraksi di pentas tertinggi Asia termasuk saingan Liga Juara-Juara Asia.
Situasi berkenaan membuktikan bahawa meskipunbermula dengan cabaran di saingan Liga Malaysia (Liga M), karier mereka sebenarnya terus berkembang dan meningkat ke tahap lebih gemilang.
Perkembangan itu sekali gus menunjukkan bahawa Liga M kekal menjadi platform penting dalam melonjakkan kerjaya pemain import, walaupun ada yang terpaksa melalui detik sukar terlebih dahulu sebelum menikmati kejayaan di arena Asia.
Oleh itu, kali Majoriti menyenaraikan tiga bekas pemain import Liga Super yang akhirnya merasai pengalaman bermain di pentas Asia bersama kelab baharu selepas meninggalkan arena domestik tanah air.
1) Amirbek Juraboev (KDA FC)
Bekas tonggak tengah Kedah Darul Aman (KDA) FC, Amirbek Dzhuraboev antara import yang disayangi penyokong Hijau Kuning selepas dia tidak putus-putus memberikan aksi terbaik pada kempen 2023.
Paling diingati apabila pemain tengah kebangsaan Tajikistan itu berhasil membantu KDA FC mengikat Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam pertembungan epik Liga Super musim 2023.
Aksi yang berakhir dengan keputusan 3-3 itu menyaksikan tonggak skuad Sang Kenari berkenaan meledak pada minit akhir untuk meranapkan impian pihak lawan mencatatkan kemenangan dalam semua aksi liga.
Bagaimanapun, faktor kewangan KDA FC boleh dikatakan punca di sebalik pemergian Amirbek dengan pihak pengurusan tidak dapat menampung permintaan gaji pemain berusia 29 tahun terbabit.
Keputusannya untuk pulang ke negara kelahirannya dan menyertai FC Istiklol membuahkan hasil apabila sudah dua musim Amirbek membantu kelabnya dalam saingan ACL2.
Jika musim lalu dia mencatatkan enam penampilan ACL2, kempen kali ini Amirbek diberi kepercayaan tampil dalam lima perlawanan setakat ini dan dia sudah menjaringkan dua gol dalam pentas Asia itu.
2) Andrew Nabbout (Negeri Sembilan FC)
Penyerang Melbourne City FC, Andrew Nabbout berpengalaman beraksi dalam saingan Liga Super bersama Negeri Sembilan FC (NSFC) pada musim 2016 iaitu ketika kelab di bawah kendalian Gary Michael Phillips.
Bagaimanapun, Andrew yang tiba pada awal musim 2016 itu hanya bertahan sekitar tujuh bulan bersama skuad Jang apabila difahamkan tampil dalam 12 perlawanan dan mencetak lapan gol.
Difahamkan, Andrew disingkirkan dipertengahan musim bagi memberikan ruang untuk pemain import baru memperkuatkan skuad itu dan akhirya kembali ke Australia dengan menyertai skuad Newcastle Jets.
Kerjaya pemain berusia 32 tahun itu terus di jalan yang tepat apabila dia pernah menyertai Urawa Reds pada musim 2018 dan kini sedang mencipta nama dengan Melbourne City di Australia.
Baru-baru ini, Andrew menjadi wira Melbourne City apabila menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-94 menewaskan gergasi Jepun, Machida Zelvia dalam perlawanan Kumpulan A ACLE pada 4 November lepas.
3) Luciano Guaycochea (Perak FC)
Kapten disayangi Perak FC, Luciano Guaycochea terpaksa mengucapkan selamat tinggal setelah skuad The Bos Gaurus (TBG) didakwa akan undur diri daripada bertanding dalam saingan Liga M.
Tonggak tengah dari Argentina itu membantu Perak dengan merekodkan 18 gol dan lapan bantuan jaringan dalam 46 aksi domestik dia diturunkan oleh barisan kejurulatihan skuad Seladang.
Pemain yang juga merupakan sepupu kepada bintang Liverpool iaitu Alexis Mac Allister itu berupaya beraksi di posisi pemain tengah menyerang, central midfield, tengah bertahan, penyerang sayap kiri dan kanan.
Luciano yang mampu menawarkan banyak kelebihan terutama menggerakkan bahagian serangan akhirnya menarik jaguh Liga 1 Indonesiam Persib Bandung untuk mempelawa dia bermain untuk kelab itu.
Pemain berusia 33 tahun berkenaan diberi kepercayaan untuk tampil dalama lima aksi ACL2 dengan tiga daripada perlawanan itu menyaksikan Persib Bandung berhasil mendapatkan tiga mata. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
