DERBI Kelantan kembali menghangatkan saingan Liga Malaysia (Liga M) apabila Kelantan Red Warriors (KRW) FC bakal berdepan Kelantan WTS FC dalam aksi Liga A1 Semi-Pro di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu pada Jumaat.
Pertembungan dua wakil negeri itu bukan sekadar perebutan tiga mata, tetapi juga medan membuktikan siapa lebih layak digelar penguasa pentas bola sepak Kelantan musim ini.
Di atas kertas, KRW tampak memiliki kelebihan berdasarkan prestasi semasa. Pasukan kendalian Irfan Bakti Abu Salim kini menghuni tangga keenam liga dengan lima kemenangan dan empat seri dalam 12 perlawanan.
BACA LAGI: [VIDEO] 'Tujuh pemain dicadang buat KRW, apa salahnya Kelantan TRW pantas sailang?'
BACA LAGI: Tembak Sungai Golok: Polis tak tolak kemungkinan bekas kiper Kelantan melarikan diri ke Malaysia
Kelantan WTS di bawah bimbingan Kamaruddin Muhammad pula kini berada di tangga kesembilan dengan lima kemenangan, dua seri dan lima kekalahan.
Walaupun jurang mata antara kedua-dua pasukan hanya dua, momentum jelas berpihak kepada KRW yang tampil lebih konsisten dalam beberapa aksi terakhir.
Antara faktor utama lonjakan prestasi KRW adalah kelibat import Cameroon, Emmanuel Mbarga yang terus membuktikan statusnya sebagai salah satu penyerang paling berbisa dalam Liga A1.

KRW FC berdepan Kelantan WTS FC pada Jumaat. — Facebook/AFL
Mbarga bukan hanya penjaring utama dengan 11 gol setakat ini, malah turut memainkan peranan sebagai penggerak serangan, mengucar-ngacirkan benteng lawan dengan kelajuan, kawalan bola kemas serta penyudah tenang di hadapan gawang.
Aksi bergandanya ketika membenam Perlis GSA 5-0 baru-baru ini di Kompleks Sukan UITM Perlis, Arau, sekali gus mengangkat namanya sebagai antara ancaman paling besar buat mana-mana pertahanan.
Persembahan konsisten itu juga menjadi pemangkin utama kebangkitan KRW, sekaligus menghidupkan harapan penyokong untuk melihat pasukan itu kembali diangkat sebagai 'Raja Pantai Timur'.
Kelantan WTS pula bermula garang pada awal musim dengan kemenangan ke atas KDA FC, Bunga Raya, Malaysia University, Imigresen FC dan Machan FC. Namun, rentak itu tidak berpanjangan.

Penyerang KRW FC, Emmanuel Mbarga. — Facebook/KRWFC
Sejak pertemuan menentang Selangor FC, WTS dilihat bergelut untuk mengekalkan fokus, menyaksikan mereka tewas kepada Selangor FC II, UM Damansara United, Kedah FA dan terbaharu Perlis GSA FC.
Derbi Jumaat ini menjadi pentas penting untuk WTS mengembalikan maruah serta meraih semula rentak kemenanganm namun tugas itu tidak mudah apabila perlu berdepan pasukan KRW yang sedang berada pada tahap keyakinan terbaik.
Dengan kedua-dua pasukan membawa naratif berbeza, KRW yang semakin meningkat di bawah Irfan Bakti dan WTS yang mahu bangkit selepas beberapa keputusan kurang memberangsangkan, derbi Kelantan kali ini dijangka menjadi antara yang paling sengit dalam musim ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
