Baru sekejap tinggalkan Selangor, import Thailand kembali ke pangkuan kelab lama


  • Podium
  • Khamis, 25 Dis 2025

Skuad Gergasi Merah sudah menjalankan perancangan awal menjelang pembukaan jendela perpindahan kedua musim. — Facebook/Selangor FC

MENJELANG pembukaan jendela perpindahan kedua Liga Super 2025/26, Selangor FC sudah lebih awal melakukan perancangan dalam usaha mempersiapkan pasukan bagi baki musim ini.

Ini dibuktikan dengan beberapa nama yang mula disebut-sebut penyokong sebagai sasaran perpindahan dengan harapan nama-nama baharu dapat memperkuatkan skuad Gergasi Merah.

Tidak cukup dengan itu, pasukan Lembah Klang tersebut turut menyediakan ruang untuk pemain yang bakal dibawa masuk apabila sudah melepaskan dua import iaitu Kevin Deeromram dan Willian Lira.

BACA LAGI: 'Jangan percaya', Deeromram nafi sikap pengurusan punca tinggalkan Selangor secara mengejut

BACA LAGI: Bangkit selepas tewas kepada JDT, kami belajar dari kesilapan — Deeromram

Deeromram merupakan antara tonggak utama skuad Gergasi Merah sepanjang separuh musim 2025/26.  Facebook/Selangor FC

Pemergian Lira yang sememangnya tumpul di hadapan pintu gol sememangnya sudah dapat diramal, namun keputusan melepaskan Deeromram merupakan pendekatan amat menghairankan.

Meskipun tidaklah begitu cemerlang, dia yang beraksi sebanyak 18 kali dalam semua pertandingan boleh diangkat sebagai tonggak di benteng pertahanan pasukan.

Malah, sumbangannya di hadapan pintu gol lawan juga cukup memberangsangkan apabila pemain berusia 28 tahun itu mencetak empat gol dan dua bantuan jaringan.

Ini sekali gus membuatkan pemergiannya dari Selangor FC menjadi topik perbualan hangat dengan penyokong mula menunding jari ke arah pihak pengurusan atas perkara terbabit.

Tetapi, terdapat kemungkinan besar keputusan berkenaan didorong keinginannya untuk pulang ke Thailand kerana tidak lama selepas meninggalkan skuad Gergasi Merah, Deeromram sudah menemui destinasi baharu dalam kariernya.

Deeromram (kiri) diumumkan sebagai rekrut baharu Ratchaburi FC. — Instagram/Kevin Deeromram

Kelab dimaksudkan ialah pasukan gergasi di negara jiran, Ratchaburi FC yang mengumumkan kehadiran bek kiri itu pada Rabu menerusi hantaran di laman media sosial rasmi mereka.

Pasukan itu sememangnya tidak lagi asing buat Deeromram yang pernah menghabiskan tempoh setahun di sana pada 2017 sebelum memilih untuk menyertai Port FC.

Meskipun tidak begitu lama, dia memiliki hubungan cukup erat dengan kelab berkenaan selepas sempat mengunjungi stadium mereka untuk menyaksikan aksi Liga Juara-Juara AFC (ACL) Two berdepan Nam Dinh FC.

Kehadiran Deeromram dalam Ratchaburi FC sudah tentu diharapkan dapat mengukuhkan lagi benteng pertahanan pasukan yang kini sibuk bersaing di pentas domestik dan Asia.

Untuk rekod, semasa kali pertama bersama skuad The Dragons, Deeromram berjaya merekodkan 31 penampilan dengan satu gol dan lapan bantuan jaringan direkodkan secara keseluruhan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti diTwitter,Facebook,Instagram,WhatsApp Channel dan Telegram