Ikut gaya Eropah, AFC perkenalkan saingan ‘Nations League’


  • Podium
  • Ahad, 21 Dis 2025

Liga Negara-Negara AFC dilihat mampu membantu menaikkan bola sepak Asia.

LANDSKAP bola sepak Asia akan mengalami perubahan besar apabila kejohanan seakan Liga Negara-Negara UEFA (UEFA Nations League) atau UNL diperkenalkan.

Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) memasang komitmen tinggi untuk mewujudkan pertandingan serupa di benua terbesar dunia bagi membolehkan bola sepak terus maju dalam kalangan ahli-ahli gabungan (MA).

Setiausaha Agung AFC, Datuk Seri Windsor John berkata, pengenalan Liga Negara-Negara AFC bagi pasukan Asia amat penting buat 47 ahli gabungannya.

BACA LAGI: Bintang tersisih Selangor FC bantu Jordan naib juara Piala Arab, siap muncul 'top scorer'

BACA LAGI: Ledak 'dua' gol, Haqimi rayu pemain muda negara terus diberi peluang di Liga Super

"Liga Negara-Negara AFC menjadi langkah penting terhadap komitmen kami untuk mara ke depan untuk menyokong pembangunan 47 ahli gabungan kami. 

Dengan memperkenal struktur kejohanan ketika jendela bola sepak antarabangsa FIFA, dengan kestabilan kalendar pertandingan dan insentif kesukanan, kami mensasarkan untuk memastikan akses konsisten terhadap perlawanan berkualiti tinggi sambil mengatasi cabaran dari segi logistik dan kewangan yang dihadapi oleh pasukan-pasukan kebangsaan.

"Selain itu, dari segi manfaat kesukanan, terdapat minat mendalam dan permintaan tinggi dalam kalangan rakan komersial AFC yang mahukan pertandingan ala Nations League yang menarik minat penyokong, penyiar serta pemegang taruh dan kemampuannya memberikan produk bola sepak yang lebih hebat dan boleh dijual,' ujarnya.

Namun begitu, AFC berdepan kekangan awal untuk mewujudkan pertandingan itu seperti bilangan pihak lawan yang terhad, kos operasi yang terus meningkat serta masalah logistik.

Akan tetapi, AFC komited untuk menjayakan pertandingan itu selaras dengan misi mewujudkan perlawanan bola sepak antarabangsa lebih bermakna ketika kalendar FIFA dengan jumlah lebih kerap.

Pengumuman lanjut mengenai format, bilakah ia akan diadakan serta cara pelaksanaannya akan diumumkan AFC pada masa terdekat. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram