[VIDEO] 'Bola sepak dalam Malaysia memang....', isteri pemain Kelantan FA luah kecewa isu gaji, dakwa bola sepak tempatan tidak terjaga


  • Podium
  • Sabtu, 20 Dis 2025

Isu gaji Kelantan FA adalah isu berulang yang melibatkan tunggakan gaji pemain dan jurulatih sejak beberapa tahun.

ISTERI kepada pemain bola sepak Kelantan FA, Shahril Sobri, meluahkan rasa kecewa terhadap pengurusan bola sepak tempatan yang didakwa gagal menjaga kebajikan pemain, khususnya berkaitan isu tunggakan gaji.

Menerusi satu hantaran di akaun TikTok miliknya, Syyimarazak, wanita itu mendakwa suaminya kini mengalami trauma selepas hampir setahun tidak menerima gaji, sekali gus menjejaskan kehidupan mereka sekeluarga.

Menurutnya, Shahril sebelum ini pernah beraksi bersama Johor Darul Ta’zim (JDT) dan tidak pernah berdepan sebarang masalah berkaitan bayaran gaji sebelum menyertai Kelantan FA selepas kontraknya tamat.

BACA LAGI : Gaji musim lalu masih tertunggak, Kelantan TRW dan kelab Lembah Klang sudah 3 kali berturut-turut didenda MFL

BACA LAGI : Pengadil aksi Selangor-Sabah tak sah? Didakwa sedang jalani penggantungan

Malah, wanita berkenaan turut menyifatkan bola sepak tempatan akan menjadi tidak bermakna sekiranya masih terdapat negeri-negeri yang gagal melaksanakan tanggungjawab membayar gaji pemain, khususnya pemain tempatan yang menjadikan sukan itu sebagai sumber pendapatan utama.

"Bola sepak Malaysia akan jadi ‘sampah’ kalau masih ada negeri-negeri yang tidak membayar gaji pemain.

"Macam mana pemain tempatan nak jadikan bola sepak sebagai kerjaya kalau hak mereka diabaikan?” katanya.

Tambahnya, sehingga kini Kelantan FA masih belum memberi sebarang penjelasan berhubung bayaran gaji pemain, sekali gus menyebabkan keseluruhan pasukan terus tertanya-tanya mengenai hak mereka.

"Sudah hampir setahun. Kelantan FA masih senyap dan tidak ada jawapan. Satu pasukan masih tertanya-tanya di mana gaji dan hak mereka,” katanya.

Dia turut menegaskan isu tunggakan gaji bukan hanya berlaku di Kelantan, sebaliknya melibatkan beberapa negeri lain, sekali gus mencerminkan masalah sistemik dalam pengurusan bola sepak tempatan.

Menurutnya, pemain menggunakan tenaga dan kudrat sepenuhnya untuk pasukan, namun kebajikan mereka seolah-olah dipandang ringan.

"Kalau begini keadaannya, lebih baik bola sepak dijadikan hobi sahaja," katanya.

Dia turut mempersoalkan bagaimana pemain mampu meneruskan kehidupan tanpa gaji selama tempoh yang panjang, sedangkan mereka turut mempunyai komitmen kewangan dan tanggungjawab keluarga.

"Bagaimana mereka nak hidup? Selama setahun itu mereka nak makan apa? Mereka juga ada komitmen masing-masing," katanya.

Selain isu gaji, Syyimarazak mendakwa pemain turut berdepan kekurangan sokongan asas termasuk ketiadaan fisioterapi dan perlindungan insurans, yang sepatutnya menjadi keperluan dalam sukan profesional.

"Fisio pun tiada, insurans pun tiada. Jadi bagaimana mereka nak terus bertahan?" katanya.

Mengulas perbandingan pengurusan pasukan, wanita itu menyatakan sepanjang karier suaminya bermula dari peringkat akar umbi termasuk Akademi Mokhtar Dahari (AMD) sehingga ke JDT, tiada masalah berkaitan kebajikan pemain.

Syyimarazak turut menyifatkan Selangor sebagai antara pasukan yang serius menjaga kebajikan pemain kerana kepimpinan negeri yang memberi perhatian terhadap isu tersebut.

"JDT tidak ada masalah. Selangor FC juga tidak ada masalah kerana Sultan mereka sangat mengambil berat tentang hal ini," katanya.

Sehubungan itu, dia menggesa pihak pengurusan Kelantan FA, khususnya individu bergelar Datuk yang bertanggungjawab, agar segera melunaskan segala tunggakan gaji dan hak pemain.

"Itu adalah hak mereka. Jika tidak diselesaikan di dunia, biarlah diselesaikan di akhirat nanti," katanya.

Untuk rekod, isu gaji Kelantan FA juga dikenali sebagai Kelantan United atau Kelantan TRW adalah isu berulang yang melibatkan tunggakan gaji pemain dan jurulatih sejak beberapa tahun.

Isu itu menyebabkan denda dari MFL (Liga Bola Sepak Malaysia) dan desakan penyelesaian dari pemain, walaupun pengurusan kelab sering memberi jaminan akan menyelesaikannya secara berperingkat.

Namun, masalah itu terus berterusan sehingga menyebabkan pasukan didenda lagi pada November lalu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram