SAGA perpindahan pemain Bournemouth, Antoine Semenyo memasuki babak baharu apabila tiga kelab masih lagi mengekori rapat bintang tersebut.
Tiga kelab itu adalah Liverpool, Manchester United dan Manchester City selain Tottenham Hotspur yang sebelum ini turut menawarkan kontrak namun ditolak Semenyo.
Apa yang menjadi tanda tanya adalah tindakan Liverpool yang secara tiba-tiba mendiamkan diri ketika semuanya masih tidak sah, seperti mana dinyatakan Indykaila News di laman X.
BACA LAGI: Hanya kerana mahukan Semenyo, wajarkah Arsenal korbankan Lewis-Skelly?
BACA LAGI: ‘Penyerang berstamina kuda', patutlah Man United-Liverpool tak kisah 'pecah tabung' berebut Semenyo
Dilaporkan, Liverpool sudah lima hari tidak menghubungi wakil Semenyo dan itu adalah satu tempoh yang lama dalam bola sepak lebih-lebih lagi ketika kelab sedang mengejar tandatangan satu-satu pemain.
Namun begitu, ia tidak menandakan yang Liverpool sudah menarik diri kerana mereka masih lagi menawarkan kontrak kepada pemain itu.
Dalam pada itu, United pula dikatakan menawarkan kontrak yang paling menarik berbanding apa yang dikemukakan oleh Liverpool dan City.
Ia dijangka tawaran gaji dan bonus berdasarkan prestasi menjadi tarikan utama United untuk membawanya ke Old Trafford.
Sementara City pula sanggup mengorbankan salah seorang pemain mereka dan itu dilihat tawaran yang lebih menarik untuk Bournemouth.
Hal ini kerana, City sanggup melepaskan pertahanan tengah Nathan Ake dengan pemain tersebut berpeluang kembali ke kelab lamanya itu.
Dengan jendela perpindahan Januari akan dibuka dalam beberapa hari lagi, Semenyo dijangka akan membuat keputusan mengenai kelab yang bakal disertainya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
