DUA kelab terbesar England, Liverpool dan Manchester United dikhabarkan dalam pertarungan hebat untuk mendapatkan pemain Bournemouth, Antoine Semenyo.
Berusia 25 tahun, pemain antarabangsa Ghana kelahiran England itu dilaporkan sedia meninggalkan The Cherries dengan dia mendesak untuk menyertai kelab baharu pada jendela perpindahan Januari.
Liverpool dan United adalah dua kelab yang sedang mengejarnya, dan tidak terkejut kenapa pemain itu sedang menjadi buruan The Reds dan The Red Devils.
BACA LAGI: Man United sedia bagi Amorim RM590 juta, pintas Liverpool rebut 'winger' terhangat EPL
BACA LAGI: Berani bersaing menentang JDT, legenda Sarawak yakin Kuching City masih mampu ke final Piala FA
Variasi di bahagian serangan
Seiring dengan permintaan bola sepak moden, ia menjadi nilai tambah untuk satu-satu pemain yang tiada masalah untuk beraksi di pelbagai posisi atau peranan (role).
Begitulah kualiti yang terdapat pada Semenyo apabila dia walaupun lebih dilihat sebagai pemain sayap kanan, namun masih boleh beraksi sebagai sayap kiri dan penyerang utama jika diperlukan.

Semenyo boleh digunakan di ketiga-tiga posisi bahagian serangan.
Versatiliti yang ada pada Semenyo membuatkan namanya mudah untuk melekat pada kesebelasan utama kerana jika tidak bermain di kanan, dia akan beraksi di sebelah kiri.
Ia adalah nilai tambah yang amat diperlukan oleh mana-mana pasukan dan semestinya Arne Slot atau Ruben Amorim begitu suka dengan kualiti pada Semenyo.
Rekod jaringan baik
Selain versatil, Semenyo juga merupakan seorang yang tajam dari segi kualiti penyudahnya di depan pintu gol lawan.
Musim ini menjadi bukti apabila dalam Liga Perdana Inggeris (EPL), Semenyo sudah menghasilkan enam gol dan tiga bantuan gol dalam 11 perlawanan.

Semenyo (tengah) mempunyai penyudah yang tajam.
Rekod jaringan baik dari bahagian sayap itu membuatkan Semenyo boleh mengisi tempat yang sedang dikuasai oleh Mohamed Salah di Liverpool sebagai pengganti jangka masa panjang.
Jika bukan Salah, Semenyo berpotensi untuk mengisi posisi Amad Diallo jika dia ke United.
Kualiti fizikal tinggi
Selain tajam di depan pintu gol, Semenyo turut mempunyai kualiti fizikal yang sangat baik sebagai pemain bola sepak.
Semenyo merupakan seorang pemain yang laju dan itu dapat membantu pasukan sekiranya strategi permainan secara terus (direct) digunakan.

Semenyo dijangka akan dijual dengan harga tinggi pada Januari kelak.
Malah, fizikal tegapnya membuatkan dia tidak mudah dibuli pertahanan lawan membuatkan dia pemain boleh diharap apabila ditugaskan memburu gol.
Semenyo mempunyai semua kualiti yang didambakan Liverpool dan United, persoalannya, kelab mana jadi pilihannya? — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
