BUKAN sekadar Liverpool dan Manchester United, satu lagi kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) iaitu Arsenal dilaporkan turut mahu mendapatkan pemain handalan Bournemouth, Antonine Semenyo.
Arsenal merupakan penyertaan lewat dalam misi mendapatkan Semenyo dengan pemain itu dilaporkan benar-benar mahu meninggalkan Bournemouth pada jendela perpindahan Januari kelak.
Dengan prospek beraksi untuk pendahulu EPL, Arsenal bagaimanapun berdepan situasi mencabar jika mereka mahu dapatkan Semenyo dan memastikan Liverpool dan United gigit jari.
BACA LAGI: Skandal pemain warisan: FAM tetap bawa kes ke CAS, komited tegakkan keadilan
BACA LAGI: Cedok gambar kemudian jana AI 'Ghibli style', video muzik penerbitan stesen TV dikritik
Boleh tapi bersyarat
Arsenal berdepan situasi mencabar untuk membawa Semenyo ke Stadium Emirates kerana faktor kewangan yang dihadapi mereka.
Ia bukan bermaksud Arsenal tidak mempunyai duit, namun mereka terikat dengan peraturan Financial Fair Play (FFP) yang memerlukan The Gunners mengimbangi antara jual dan beli pemain.
Dalam situasi Arsenal, mereka melakukan beberapa pembelian pada awal musim namun kurang menghasilkan jualan. Oleh itu, penjualan pemain harus dibuat untuk mengimbangi FFP mereka.
Untuk tujuan itu, ada satu pemain yang menjadi sebutan iaitu pertahanan muda, Myles Lewis-Skelly.
Lewis-Skelly jadi korban
Dilaporkan, Arsenal sedia untuk melepaskan Lewis-Skelly ke kelab lain demi memastikan usaha meraih Semenyo dapat direalisasikan.
Baru berusia 19 tahun, pertahanan kiri yang hadir menerusi sistem akademi Arsenal itu mempunyai potensi besar untuk mengemudi posisi berkenaan untuk tempoh beberapa tahun akan datang.

Kontrak Lewis-Skelly bersama Arsenal akan tamat pada 2030.
Pernah dirisik oleh Real Madrid pada musim baharu sebelum mengikat kontrak jangka panjang sehingga 2030 pada Jun lalu menonjolkan komitmen pemain itu terhadap Arsenal adalah tidak terbelah bahagi.
Akan tetapi, demi mengejar mahkota EPL, pemain yang dilihat setia bersama kelab itu bakal menjadi mangsa demi mencipta ruang buat bintang baharu.
Rugi jika lepaskan
Jika benar Arsenal memilih Lewis-Skelly sebagai korban untuk mendapatkan Semenyo, ia dilihat satu tindakan yang kurang wajar kerana dia merupakan prospek besar buat The Gunners.
Lewis-Skelly dilihat sebagai permata pertahanan kiri buat Arsenal untuk tahun-tahun mendatang dan nilainya akan terus meningkat selepas ini jika The Gunners kekal cemerlang.

Lewis-Skelly sudah beraksi enam kali bersama England.
Ditambah dia kini sudah mula dipanggil dalam skuad England, Arsenal sekadar perlu menunggu masa sebelum permainan Lewis-Skelly menjadi matang dan lebih baik sekali gus menguntungkan mereka.
Semenyo mungkin pemain yang baik untuk serangan Arsenal tetapi Lewis-Skelly masih ada peranannya. Mungkin, Arsenal perlu korbankan pemain lain. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
