JENAMA Adik Beradik Kuala Lumpur (ABKL) bersedia melangkah ke fasa baharu pada 2026 dengan pengembangan Adik Beradik Role Play (ABRP) ke skala lebih besar, lengkap dengan teknologi dan sistem baharu.
Langkah itu dijangka memperkukuhkan lagi kedudukan ABKL sebagai komuniti digital Malaysia yang berdaya saing di peringkat serantau.
Selain pengembangan sistem, ABKL juga merancang penganjuran acara fizikal dan digital secara berkala.
BACA LAGI: Server permainan ABRP bantu introvert berkawan, martabatkan Bahasa Melayu
BACA LAGI: [VIDEO] ‘Bukan kali pertama berlaku’, Hafizh Syahrin kesal apa Zaqhwan sudah buat
Kerjasama strategik dengan jenama, pencipta kandungan serta organisasi tempatan dijangka membuka lebih banyak peluang bagi komuniti, termasuk pemain, streamer dan pencipta kandungan.
Malah, acara ABKL Experience 2025 yang berlangsung di Shangri-La Kuala Lumpur pada Sabtu menjadi pemangkin kepada evolusi tersebut, apabila berjaya menghimpunkan lebih 1,000 ahli komuniti dari seluruh Malaysia serta peserta dan pemerhati dari negara jiran.

(Dari kiri) Mohd Hilmi dan MelRomeo menjangkakan 2026 akan menjadi tahun evolusi yang bukan sahaja membina komuniti digital yang lebih matang dan tersusun.
Pertandingan roleplay kompetitif yang dianjurkan menekankan kreativiti, strategi, kerjasama pasukan dan penceritaan, sekali gus memperkenalkan satu bentuk pertandingan baharu dalam landskap permainan tempatan.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif ABKL, Muzammil Mudzakir atau dikenali sebagai MelRomeo, acara itu mempamerkan perkembangan dunia roleplay tempatan termasuk teknologi pelayan, sistem permainan, pencipta kandungan serta potensi kerjaya dalam industri digital dan e-sukan.
"Pertandingan yang dianjurkan pula tampil dengan konsep roleplay kompetitif, berbeza daripada e-sukan tradisional, di mana kreativiti, strategi, kerjasama pasukan dan penceritaan menjadi elemen utama penilaian.
"Inisiatif ini memperkenalkan satu bentuk pertandingan baharu dalam landskap permainan tempatan.
"Bukan itu sahaja, acara ini turut menghimpunkan seramai 1,000 orang komuniti ABKL antaranya pemain, streamer, pembangun sistem, pempengaruh dan komuniti roleplay dari seluruh Malaysia.
"Selain menerima penyertaan pemain serta pemerhati industri dari beberapa negara jiran, sekali gus meletakkannya sebagai acara berimpak serantau," katanya.
ABKL turut memperkukuh jenama dengan penglibatan ikon berpengaruh seperti bekas pelumba MotoGP Hafizh Syahrin dan pempengaruh e-sukan Daddyhood sebagai wakil komuniti, selain kolaborasi kreatif bersama ahli kumpulan rap K-Clique iaitu Somean dan Gnello.
Menurut Ketua IT ABKL, Mohd Hilmi Azli, kesemua ikon bukan sekadar wajah promosi tetapi turut berperanan sebagai pemain aktif, streamer dan penyumbang idea dalam pembangunan ekosistem Adik Beradik Role Play (ABRP).
"Sejak pelantikan mereka (ikon-ikon), keterlibatan komuniti meningkat ketara dan menarik demografi baharu termasuk golongan bukan gamer, atlet dan peminat hiburan,” katanya.
ABKL Experience 2025 juga menjadi titik permulaan untuk perancangan 2026 termasuk peluasan ABRP dengan teknologi baharu, penganjuran acara fizikal dan digital secara berkala serta pembangunan platform sokongan untuk pencipta kandungan melalui pelayan khas ABShoot.

Acara ABKL Experience 2025 yang berlangsung di Shangri-La Kuala Lumpur pada Sabtu berjaya menghimpunkan lebih 1,000 ahli komuniti dari seluruh Malaysia serta peserta dan pemerhati dari negara jiran.
Antara selebriti dan streamer yang memeriahkan acara ialah Rayyan.s, Malkodok, Fattah Zie, King Shah, KingYonny, Hafizh Syahrin, Haris Alif, Asyraf Rozaimi, Master Ramen, Jaa Suzuran, Daddyhood dan K-Clique.
ABKL menjangkakan 2026 akan menjadi tahun evolusi yang bukan sahaja membina komuniti digital yang lebih matang dan tersusun, tetapi juga memberi peluang kepada lebih ramai anak muda Malaysia untuk mengasah kreativiti sambil menonjolkan identiti tempatan ke peringkat serantau. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
