
DALAM dunia yang semakin moden dan dipacu arus teknologi, permainan video bukan lagi sekadar hiburan untuk mengisi masa lapang.
Ia kini menjadi medan perhubungan sosial, pentas kreativiti, malah simbol kemajuan teknologi yang membentuk budaya dan gaya hidup generasi baharu.
Namun, di sebalik lambakan permainan antarabangsa yang mendominasi pasaran global, muncul sekumpulan anak muda Malaysia yang berani melakar nama di dunia maya dengan jenama dan identiti sendiri seperti Adik Beradik Role Play (ABRP).
BACA LAGI : [VIDEO] ‘Bukan kali pertama berlaku’, Hafizh Syahrin kesal apa Zaqhwan sudah buat
ABRP merupakan sebuah server permainan dalam talian berasaskan Grand Theft Auto V (GTA V) yang dikelolakan oleh syarikat Adik Beradik Kuala Lumpur (ABKL).
Menariknya, ABKL pada asalnya bukanlah syarikat permainan video.
Ditubuhkan pada tahun 2021 sebagai syarikat fesyen, syarikat itu membuat langkah berani apabila menembusi dunia permainan digital setahun kemudian, satu keputusan yang akhirnya membuka lembaran baharu dalam industri hiburan tempatan.
MelRomeo (kiri) bersama Hilmi memperkenalkan server ABRP di platform FiveM yang berasaskan permainan popular GTA V.
Diterajui Ketua Pegawai Eksekutif, Muzammil Mudzakir, atau lebih dikenali dengan nama MelRomeo, bersama Ketua IT, Mohd Hilmi Azli, mereka memperkenalkan server ABRP di platform FiveM yang berasaskan permainan popular GTA V.
Namun, apa yang benar-benar membezakan ABRP dengan server lain di seluruh dunia ialah keunikan identitinya.
Mereka mengekalkan elemen budaya Malaysia dan menggunakan Bahasa Melayu sepenuhnya dalam setiap aspek permainan daripada dialog watak, papan tanda, sehinggalah kepada peraturan dalam dunia maya itu sendiri.
Walaupun pernah ada cadangan agar Bahasa Inggeris digunakan bagi menarik perhatian pemain antarabangsa, Hilmi tetap berpegang teguh bahawa bahasa kebangsaan mampu menembusi pasaran global, lebih-lebih lagi dengan bantuan teknologi terjemahan masa nyata.
“Kami mahu membina pengalaman permainan berkualiti tinggi dengan identiti Malaysia.
ABRP menggunakan Bahasa Melayu sepenuhnya dalam setiap aspek permainan daripada dialog watak, papan tanda, sehinggalah kepada peraturan dalam dunia maya itu sendiri.
"Misi kami bukan sekadar hiburan, tetapi untuk mengangkat martabat Bahasa Melayu agar dikenali dan dihargai di peringkat global.
"Ia terbukti apabila ada pemain dari Indonesia mula berkomunikasi dalam Bahasa Kebangsaan,” katanya kepada Majoriti.
Semenara itu, MelRomeo pula menegaskan bahawa ABRP bukan sekadar permainan video, tetapi bukti anak muda Malaysia juga mampu mencipta dunia GTA versi sendiri dengan identiti lokal.
"Keputusan ini bukan tanpa risiko. Namun ABKL, keindahan dan kekuatan bahasa kebangsaan mampu melangkaui batas geografi apabila disampaikan dengan teknologi dan jiwa yang betul.
“Kalau kita tidak membawa budaya kita ke dunia digital, siapa lagi yang akan buat?
"Hasilnya terbukti dan ramai pemain antarabangsa termasuk dari Indonesia dan Brunei yang kini turut menggunakan Bahasa Melayu ketika bermain di dalam server ABRP.
“Langkah memartabatkan Bahasa Melayu dalam platform antarabangsa amat penting supaya kita tidak hilang jati diri di tengah arus globalisasi,” katanya.
Platform sosial untuk si pemalu
Daddy Hood dan Hafizh Syahrin Abdullah secara rasmi menyertai dunia ABRP apabila dilantik sebagai ikon baharu oleh ABKL.
Selain berfungsi sebagai ruang hiburan, ABRP juga berkembang menjadi komuniti sosial maya yang positif dan inklusif.
Menariknya, platform itu boleh menjadi tempat buat golongan introvert atau mereka yang pemalu belajar berkomunikasi, bergaul dan membina keyakinan diri dalam suasana yang selamat serta menyeronokkan.
Menurut Hilmi, ramai pemain yang pada awalnya pendiam dan kurang berkeyakinan kini semakin berani untuk bersuara dan menjalin persahabatan baharu melalui watak maya mereka.
“Ramai pemain yang mulanya segan dan tidak tahu bagaimana mahu berinteraksi, tetapi melalui ABRP, mereka mula berani menonjolkan diri.
"Kami mahu dunia maya ini menjadi jambatan yang menghubungkan mereka dengan potensi sebenar diri.
"Melalui permainan ini, mereka belajar untuk bekerjasama, menyelesaikan konflik, malah ada yang akhirnya membawa keberanian itu ke dunia sebenar,” ujarnya.
Lebih 100,000 ahli komuniti
Tiga server utama iaitu AdikBeradik East, AdikBeradik West dan AdikBeradik Mobile, dengan sokongan komuniti melebihi 100,000 ahli aktif di platform Discord.
Kini, ABKL menguruskan tiga server utama iaitu AdikBeradik East, AdikBeradik West dan AdikBeradik Mobile, dengan sokongan komuniti melebihi 100,000 ahli aktif di platform Discord.
Angka ini bukan sahaja membanggakan, malah menjadikan ABRP antara server permainan tempatan yang berada di kedudukan teratas dunia, bersaing dengan pelayan antarabangsa lain yang mempunyai sumber jauh lebih besar.
Kekuatan ABRP bukan sekadar pada jumlah pemain, tetapi juga pada inovasi pantas mereka. Dengan bantuan kecerdasan buatan (AI), pasukan kecil ABKL mampu memperkenalkan ciri baharu dalam masa kurang sebulan, menjadikan pengalaman pemain sentiasa segar, dinamik dan berbeza setiap kali mereka log masuk.
Terbaharu, pelumba motosikal negara, Hafizh Syahrin Abdullah dan streamer popular, Daddy Hood kini secara rasmi menyertai dunia Adik Beradik Roleplay (ABRP) apabila dilantik sebagai ikon baharu oleh ABKL.
Langkah itu dilihat sebagai strategi penting ABKL dalam memperkukuh identiti ABRP sebagai dunia permainan roleplay tempatan yang lebih realistik, berjiwa Malaysia dan dekat dengan komuniti pemainnya.
MelRomeo berkata, pemilihan dua figura tersebut bukan hanya berasaskan populariti, tetapi kerana mereka mencerminkan semangat sebenar jenama ABKL.
“Mereka bukan sekadar wajah depan, tetapi ikon sebenar yang hidup bersama komuniti kami. Kedua-duanya aktif bermain, berinteraksi dan memberi inspirasi kepada pemain baharu.
"Kerjasama itu turut membantu ABKL memperkukuh identiti ABRP sebagai dunia roleplay buatan tempatan yang setanding dengan platform antarabangsa, namun tetap mengekalkan cita rasa serta budaya masyarakat Malaysia," katanya.
Sejak ditubuhkan pada 2021, ABKL berkembang daripada jenama pakaian kepada komuniti digital dengan ribuan pemain aktif di Malaysia dan Asia Tenggara.
Untuk maklumat lanjut dan menyertai ABRP, anda boleh melayari laman web http://ab-kl.com/. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram