PENYERANG muda negara, Aliff Izwan Yuslan, akhirnya mendapat pelepasan untuk bersama skuad bawah 23 tahun (B-23) di Sukan SEA 2025 selepas tamat tugasan Liga Super bersama Selangor sekali gus membuka peluangnya beraksi menentang Vietnam dalam perlawanan kedua di di Stadium Rajamangala, Thailand pada Khamis.
Aliff sebelum ini hanya mampu menonton kemenangan 4-1 Malaysia ke atas Laos pada 7 Disember lalu melalui tablet ketika dalam perjalanan bersama pasukan Selangor ke Pulau Pinang.
Malaysia bermula cemas apabila Laos membuka jaringan seawal minit keempat membuatkan hatinya berdebar, namun kegembiraan menguasai diri apabila Harimau Muda bangkit melakar kemenangan bergaya.
BACA LAGI : Pengadil aksi Selangor-Sabah tak sah? Didakwa sedang jalani penggantungan
BACA LAGI : Kim Swee disebut sudah lapor diri, mulakan tugas Pengarah Teknikal AMD
Emosinya turut tersentuh sehingga menitiskan air mata dalam bas pasukan kerana terlalu mahu bersama rakan sepasukan meraikan kemenangan itu.
Selepas Selangor menumpaskan Pulau Pinang 5-1, ketua jurulatih Christophe Gamel akhirnya melepaskannya untuk menyertai skuad negara satu keputusan yang amat dinanti-nantikan Aliff.

Skuad B-23 bakal beraksi menentang Vietnam dalam perlawanan kedua pada Khamis.
"Kita semua tahu persiapan pasukan tidak mudah kerana kejohanan ini bukan dalam kalendar FIFA. Ramai pemain tidak dapat sertai lebih awal, dan ia sukar untuk jurulatih.
"Tapi selepas tengok rakan-rakan beri segalanya ketika lawan Laos, saya rasa sangat bermotivasi. Menentang Vietnam, saya pun akan beri sepenuh tenaga," katanya.
Aliff mengakui Vietnam adalah pasukan yang gemar memprovokasi lawan termasuk melalui media, namun dia memilih untuk kekal tenang.
"Kalau kita ambil serius sangat provokasi mereka, kita sendiri akan rugi," ujarnya.
Mengenai peluang berada dalam kesebelasan utama, pemain yang beraksi dalam Sukan SEA buat kali kedua itu menyerahkan sepenuhnya kepada jurulatih.
"Kalau saya diturunkan, saya akan buat yang terbaik. Kalau saya bermula di bangku simpanan, saya pun terima sebab pemain lain sudah lama berlatih bersama," katanya lagi.
Untuk rekod, Malaysia hanya memerlukan seri untuk layak ke pusingan kalah mati dan kehadiran Aliff dijangka menambah kekuatan barisan serangan negara. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
