IBARAT jatuh ditimpa tangga, itulah situasi yang menimpa pemain import Sabah FC, Miguel Cifuentes, ketika perlawanan akhir Piala FA menentang juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT), di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), Kuala Lumpur pada Ahad.
Manakan tidak, misi The Rhinos menjulang Piala FA sepas kali terakhir mara ke pentas final gagal apabila ditewaskan JDT dengan kekalahan besar 0-5.
Kekalahan itu bertambah pahit apabila pemain dari Sepanyol itu dilayangkan kad merah pada awal babak kedua selepas didakwa melakukan kekasaran terhadap Jonathan Silva.
BACA LAGI : The Cats hilang striker tajam akibat 2 kad kuning, bekas peledak JDT ditagih jadi duri dalam daging
BACA LAGI : Piala FA: Aksi terbesar dalam sejarah Kuching City, usah terlalu hormati JDT
Susulan itu, skuad kendalian Jean Paul de Marigny terpaksa beraksi dengan hanya 10 pemain selama hampir 40 minit, sekali gus merencatkan usaha mereka untuk bangkit.

Cifu memohon maaf kepada rakan sepasukan dan peminat Sabah melalui hantaran di Instastory.
Susulan insiden itu, Cifuentes, yang lebih dikenali sebagai Cifu dalam kalangan penyokong tempatan, memohon maaf kepada rakan sepasukan dan peminat Sabah melalui hantaran di Instastory pada Isnin.
"Saya memohon maaf kepada pasukan dan semua penyokong yang memberi sokongan penuh pada hari istimewa ini.
"Semalam (Ahad) merupakan kali pertama saya menerima kad merah sepanjang karier profesional saya.
"Saya hanya cuba merebut bola dan amat kesal kerana tidak dapat berjuang sehingga penamat bersama anda semua. Terima kasih atas sokongan diberikan," tulisnya ringkas.
Untuk rekod, skuad Harimau Selatan melakar sejarah tersendiri apabila berjaya mengekalkan trofi berprestij itu buat kali keempat berturut-turut selepas turut memenanginya pada edisi 2022, 2023 dan 2024. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
