Pengadil aksi Selangor-Sabah tak sah? Didakwa sedang jalani penggantungan


  • Podium
  • Rabu, 03 Dis 2025

Sabah mencipta sejarah apabila menamatkan penantian 27 tahun untuk mara ke final Piala FA selepas menewaskan Selangor 5-4 menerusi penentuan sepakan penalti di Stadium MBPJ pada Ahad. — Selangor FC

TULAR di media sosial dakwaan mengatakan pengadil aksi separuh akhir kedua Piala FA 2025/2026 antara Selangor FC dan Sabah FC, Mohd Hasrol Mohd Amir, sebenarnya sedang digantung keahliannya oleh Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA).

Perkara itu dibangkitkan Pengasas Anak Selangor Fan Club (ASFC), Mohd Faizal Wahid, yang mempersoalkan tindakan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM)  tetap melantik pengadil berkenaan bagi mengendalikan perlawanan penting tersebut.

Menurutnya, maklumat yang diterima daripada kalangan penyokong memaklumkan bahawa rayuan Mohd Hasrol untuk menarik balik penggantungannya ditolak oleh KAFA berdasarkan alasan tatatertib yang munasabah.

BACA LAGI : Kim Swee disebut sudah lapor diri, mulakan tugas Pengarah Teknikal AMD

BACA LAGI : Skuad B-17 tewas besar di Hanoi, Malaysia perlu rombakan akar umbi

“Jika benar beliau masih digantung, tindakan melantiknya sebagai pengadil perlawanan dilihat tidak wajar dan tidak selaras dengan garis panduan pemilihan pengadil.

"Keputusan ini seolah-olah menafikan hak Selangor FC dalam perlawanan tersebut," katanya.

Mohd Faizal turut menzahirkan kekecewaan terhadap apa yang disifatkan sebagai kelemahan pengurusan yang memberi imej negatif kepada bola sepak tempatan.

"Bagaimana kita mahu bangunkan bola sepak negara jika perkara asas seperti pemilihan pengadil pun dilihat tidak adil? Penyokong diseru untuk terus menyokong bola tempatan, namun situasi sebegini hanya menambah kekecewaan," katanya.

Melalui salinan surat bertarikh 2 April 2025 yang dimuat naik itu menyatakan bahawa Mohd Hasrol digantung atas kes berkaitan disiplin dan tatatertib di bawah KAFA .

Pada Ahad lalu, Sabah mencipta sejarah apabila menamatkan penantian 27 tahun untuk mara ke final Piala FA selepas menewaskan Selangor 5-4 menerusi penentuan sepakan penalti di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dekat Petaling Jaya, Selangor.

Namun, perlawanan itu sedikit dicemari beberapa keputusan penuh kontroversi seperti pembatalan gol minit akhir oleh Mukhairi Ajmal serta keputusan memberikan sepakan penalti buat Sabah FC yang akhirnya disempurkan Ajdin Mujagic.

Aksi dramatik itu terpaksa ditentukan menerusi penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 3-3 pada perlawanan separuh akhir kedua, sekali gus mencatatkan agregat 5-5.

Setakat berita ini ditulis, belum ada sebarang kenyataan dikeluarkan oleh FAM. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram